Jumaat, 8 Mac 2013

Umno cari calon ulama



Oleh Subky Latif

KEPERLUAN Umno meletakkan satu dua ulama menjadi calon dalam pilihan raya bukan suatu yang baru. Dalam dua pillihan raya umum yang lalu Umno meletakkan Imam Firdaus Ismail dari Masjid Negara untuk bertanding di Permatang Pauh. 

Mula-mulanya Umno merisik Dato’ Hashim Yahya, pensyarah akademik Islam Universiti Malaya dan Mufti Wilayah Persekutuan untuk menentang isteri Anwar Ibrahim, Datin Seri Wan Azizah Ismail. Sahibus Samhah itu menolak. Maka Imam Firdaus sanggup. Masa itu Dr Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) yang juga dari daerah sebelah situ belum terkenal.

Firdaus dalam percubaan ulangannya juga gagal diberitakan menyepak peti undi. Sejak itu dia hilang dan tidak lagi disebut untuk dicalonkan lagi ketika beberapa ulama disebut-sebut untuk dicalonkan dalam PRU13 ini.

Ketika yang sama Umno mendapatkan khidmat Dr Mashitah Ibrahim. Menang dia di Baling. Dijadikan dia Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Entah kerana dia mengharuskan sesuatu yang ditegah bagi menampung kehidupan, namanya digugurkan. Ketika dia dicalonkan kalah MP PAS, Imam Taib Azamuddin olehnya. Apabila dia digugurkan, kalah calon Umno oleh Imam Taib. Ertinya lulus pengajian tinggi Islam adalah calon boleh menang.

Sebelumnya adalah saja ulama dijadikan Umno calon payung terjun seperti Tan Sri Yusuf Nor, Tan Sri Hamid Othman, Dato’ Brigadier Jeneral Hamid Zainal Abidin dan Dr Abdullah Zain. Menang belaka.
Tetapi penampilan mereka tidak menjadikan Umno siasah berasas Islam. Ia gagal menggerhanakan PAS.
Malah lebih hanyut daripada era Tan Sri Abdul Jalil Hasan, Dato’ Wan Kadir Ismail dan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad sekalipun percubaan terakhirnya mengenengahkan Islam Hadhari.

Sebelum Umno PM Najib Razak, PASlah dikira gerakan Islam yang disandar oleh umum, tetapi setelah PAS bertahaluf siasi dengan DAP benteng gerakan Islam dikatakan sudah tawar. Umno seolah- olah hendak mengambil apa yang dikosongkan oleh PAS itu dengan mengisi calon ulama bagi menjadikan Umno dan kerajaan berimej wasatiyah dalam era bermewah dan membazir sekarang.

Maka jadi polemik calon ulama boleh menang ini oleh ulama dan orang politik. Ada yang kata ulama tanpa menyertai parti, ada yang kata ulama mesti berparti, ada yang kata ulama jangan libat diri dalam politik.

Ulama yang kata, jangan dekati politik kerana ia kotor dan dalam Islam mana ada politik, samalah mereka dengan kumpulan tabligh di Pakistan yang kecewa apabila Benazir Bhutto menjadi Perdana Menteri wanita pertama di negara Islam. Kata mereka, mana boleh wanita jadi Perdana Menteri? Kalau mereka berpolitik dan mengundi nescaya terhalanglah Benazir jadi Perdana Menteri.

Yang berkata, dalam Islam mana ada politik apalah bezanya dengan fahaman sekular betapa Islam tidak dicampurkan dengan politik. Maka tidakkah ulama seperti jadi sekular sama?

Akan ulama yang kata, ulama boleh berpolitik tanpa parti adalah sekadar mengaji fikah saja dan tidak mengaji fikah politik. Kata Ayatollah Khomeini, mereka adalah ulama haid dan nifas. Ilmu politiknya kosong sedang politik iaitu siasah adalah sains memerintah dan mentadbir.

Sayidina Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali tidak jadi khalifah sebagaimana Muammar Gaddafi jadi pemimpin Libya dengan merampas kuasa dan mengisytiharkan dirinya sebagai ketua negara. Mereka menjadi khalifah diputuskan oleh syura. Dalam suasana jemaah berpecah antara penyokong Ali dan penyokong Muawiyah, kedua-duanya dijamin syurga, bagaimana hendak menyelesaikannya tanpa perang seperti dalam dunia demokrasi sekarang?

Maka kaedah terbaik ia berada dalam harakah Islam. Tidak bijak satu masyarakat punya lebih daripada satu jemaah. Apabila jemaah Islam lebih daripada satu maka masyarakat berpecah, semua jemaah jadi lembah. Jika jemaah sekular seperti Umno ada satu saja dalam masyarakat, maka jemaah Islam yang berpecah itu akan hilang majoriti.

Yang mahu ulama berpolitik sendiri tanpa parti sama seperti solat wajib sendiri. Sah solat tapi solat berjemaah diutamakan.

Yang terbaik daripada ulama yang belum berpolitik itu ialah yang berkata, landskap politik mesti berubah. Kecenderungan Umno mahu meramaikan calon ulama, mungkin salah satu daripada dua sebab. Pertama, mengaku politik Islam yang PAS bawa selama ini adalah relevan. Kedua mahu mengalihkan pandangan umum bagi menyekat pengaruh PAS betapa Umno juga adalah gerakan Islam.

Jika ia justeru sebab pertama, maka mengekalkan sekular Umno adalah tidak relevan. Maka semuanya mesti meninggalkan Umno untuk bersama PAS. Umumnya sejak awal ramai ulama jadi calon PAS. Maka ulama yang berpotensi jika merasa tidak memenuhi satu lagi keperluan Islamnya iaitu berpolitik, sertailah politik yang tidak sekular. Pemegang tombak bagi orang awam dalam jemaah Islam adalah lebih mulia daripada ulama haid dan nifas di luar jemaah Islam.

Jika justeru sebab kedua, sekadar mengambil ulama sebagai calon adalah laksana menghias Umno dengan gincu Islam supaya orang tidak menyokong PAS dan orang menyangka kehadirian ulama itu rupanya Umno harakah Islam juga.

Belum tentu ada pahala mengambil ulama itu dan ulama itu pun belum tentu berpahala. Sama seperti Tun Hussein Onn ketika jadi Perdana Menteri ditanya wartawan asing mengapa kerajaan banyak mendirikan masjid? Jawabnya jika kerajaan tidak diri masjid, nescaya menanglah PAS! Payah ia jadi ibadat kerana ia dibina takut PAS menang, bukan ia dibangunkan bagi mendapatkan rahmat dan reda Allah.

Umno sendiri tentu sedar jika mereka hendak berpolitik dan menjadi calon pilihannya ialah hisbi Islami. Mereka bukan orang awam. Mereka ulama. Kalau orang awam dan jahil menjadi calon parti sekular jauh kedudukannya di sisi Allah, maka apa lagilah ulama yang mengetahui menjadi calon parti sekular dengan tujuan untuk mengislahkan gerakan sekular itu.

Dengan demikian mereka yang sudah dekat dengan tampuk kekuasaan boleh menjadi penasihat kepada Perdana Menteri sekular dan menteri-menteri sekular dan boleh mentransformasi parti sekular bagi menjadi parti Islam.

Kita patut tanya adakah Tan Sr Yusuf Nor semasa menjadi pengerusi Felda menjadi penasihat Perdana Menteri Najib atau dia dinasihat Najib? Almarhum Tan Sri Hamid Othman selepas kalah di Sik telah menjadi penasihat Islam kepada Perdana Menteri Mahathir Mohamad. Adakah Mahathir telah berubah justeru nasihatnya atau dia dinasihat Mahathir.

Brigadier Abdul Hamid Zainal Abidin jadi Menteri Di jabatan Perdana Menteri semasa Mahathir. Tun Abdullah Ahmad Badawi gugurkan daripada Kabinet. PRU 2008 digugurkan dari calon. Ganti dengan Abdullah Zain. Tahun 2008 digugur daripada Kabinet. Sekarang Najib mencari ulama lain. Semua ulama yang dibawa masuk ke dalam Umno secara bergilir-gilir setakat ini dilihat sebagai gincu Islam bagi menjadikan Umno dan kerajaan dikatakan Islam.

Ulama adalah waris para ambia. Mereka bukan calon Cina buta, mengambil upah bagi menghalalkan pasangan suami isteri bercerai talak tiga kembali semua berumah tangga. Tempat mereka adalah bersama PAS. Kelemahan yang terdapat pada PAS bukan alasan bagi ulama tidak menyertainya.

Ustaz Hadi Awang bukan terus jadi orang besar dalam PAS. Beliau adalah pegawai kerajaan Terengganu semasa Menteri Besar Wan Mokhtar. Beliau meletak jawatan menyertai PAS. Selepas 20 tahun kemudian jadi Presiden PAS.

Tiada ulasan: