Khamis, 7 Mac 2013

Tabah semak warga asing dapat tanah

KL TODAY

KUALA LUMPUR: PAS mengarahkan NGO berkaitan tanah di Sabah, Lajnah Pembela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) membuat semakan berhubung jumlah warga asing yang mendapat tanah di negeri itu khususnya di Lahad Datu, Semporna dan Tawau. Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, semakan tersebut termasuk di Gugusan Felda Sahabat yang berkeluasan 104,000 hektar.

Ini kerana katanya, pemilikan tanah di kawasan tersebut dikhuatiri ada kaitan dengan isu pemberian kad pengenalan segera kepada warga asing sewaktu Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.


“Saya minta Tabah buat kajian dan semakan. Kebimbangan saya ialah bila mereka dapat kad pengenalan lama dahulu masa Tun Datu Mustapa. Tapi isu tanah tak berbangkit masa itu sebab Felda belum ada.

“Tapi zaman Tun Dr. Mahathir jadi PM, Felda dah ada dan bila dia beri kad pengenalan segera, masa itu Gugusan Felda Sahabat dibuka.

“Kita akan buat semakan adakah jumlah peneroka dan pekerja ladang ini termasuk puak-puak (yang diberi kad pengenalan) ini,” kata beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, jalan Raja Laut hari ini.

Hasil semakan itu akan dibincangkan dalam seminar melibatkan pakar-pakar mengenai isu tanah yang berkait dengan perundangan yang sedia ada.

“Apakah dia reformasi yang boleh kita kita lakukan terhadap dasar-dasar tenah negara supaya tanah ini yang kepentingan strategiknya patut menjadi keutamaan negara kita tidak mudah terdedah kepada pihak asing.

“Kita akan bentang apa langkah penambahbaikan terhadap akta kanun tanah negara, kedudukan tanah rezab Melayu dan juga enakmen tanah negeri yang sebahagiannya perlu dikaji semula,” katanya.

Mazlan juga menyuarakan kebimbangan isu pencerobohan Lahad Datu sekarang ini ada kaitan dengan janji Kerajaan Malaysia untuk memberikan tanah kepada mereka seperti yang didakwa.

“Saya tegaskan, isu kedaulatan terutamanya dalam konteks pemilikan tanah tak harus menjadi percaturan kepada pihak asing. Ini soal dan pemilikan tanah rakyat dalam negeri dan negara dan dengan kata lain kita tak boleh pertaruh soal kedaulatan dan pemilikan tanah ini untuk kepentingan politik.


“Saya merujuk versi cerita bagaimana kononnya tanah di Felda nak diberi kepada pihak luar sebagai janji politik.

“Rakyat dalam negeri kita pun masih terlalu ramai yang perlukan tanah, mereka masih hidup menumpang dan menyewa. dengan kehidupan yang begitu sukar tiba-tiba ada percaturan politik,” katanya yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).
Tingkatkan pemantauan di Felda Sahabat

Sementara itu, Mazlan turut menyeru pihak keselamatan meningkatkan pemantauan di Gugusan Felda Sahabat sepanjang Ops Daulat di Kampung Tandou.

Katanya, nyawa peneroka dan pekerja ladang harus diutamakan dan aktiviti mereka untuk mengeluarkan hasil sawit tidak dibiarkan tergendala.

“Aktiviti mengeluarkan hasil sawit mesti diteruskan kerana sawit hanya bertahan hingga sepuluh hari. Kalau tak buah menjadi busuk dan kadar berat tan sawit dan kadar perahan gred merosot,” katanya.

Gugusan Felda Sahabat yang berhampiran Kampung Tanduo ialah Felda Sahabat 17, 18, 19, 22 dan 56.

Tiada ulasan: