Rabu, 27 Mac 2013

Stadium RM320 juta bakal jadi kenyataan

Aslani M,




KOTA BHARU: Sebelum ini pemimpin Umno menjanjikan sebuah stadium baru dibina di Tunjung sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat mentadbir Kelantan. Namun sekarang cadangan itu senyap begitu sahaja.

Sebaliknya kerajaan negeri pula memperlihatkan komitmennya membina stadium dan kompleks sukan di tapak Bandar Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh.

Tunjong Development Corporation (TDC) yang dilantik kerajaan negeri menerajui projek berkenaan berkerjasama dengan pemaju berpengalaman yang membina Stadium Olimpik Beijing di China.

Pengurus Besar TDC, Nazri Deraman berkata, syarikat terbabit dipilih daripada tender terbuka dan akan menjalankan usahasama dengan pemaju tempatan.

Katanya, pembangunan Bandar Sukan itu merangkumi pembinaan kompleks membeli belah, ruang pejabat, hotel dan sebuah institusi pengajian tinggi.

“Pembinaannya merupakan sebahagian pembangunan di kawasan seluas seluas 272 ekar bagi pembangunan Bandar Sukan. Ia mengandungi Stadium Negeri di kawasan seluas 50 ekar, sebuah stadium tertutup dan pusat akuatik.

“Manakala kompleks sukan pula dibangunkan di kawasan seluas 75 ekar. Stadium Negeri sesuai untuk pelbagai acara sukan yang boleh memuatkan 45,000 penonton merupakan fasa pertama akan dibangunkan,” katanya di sini.

Menurutnya stadium itu juga sesuai dijadikan tempat ceramah perdana kerana ia mesra ibadat di mana boleh menampung jemaah solat dalam kapasiti yang ramai.

Bandar Sukan tersebut terletak 33 km dari Bandar Kota Bharu, 20 km dari Bandar Pasir Puteh, 7 km dari Kok Lanas, 7 km dari Selising dan 26 km dari Machang.

Kawasan itu sebelum ini merupakan tanah kerajaan negeri untuk rizab haiwan dan sebahagian daripada rizab Hutan Simpan Cabang Tongkat.

Lokasinya juga berhampiran projek Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai yang sedangkan dalam pembinaan sekarang.

Nazri berkata, projek tersebut merupakan alternatif kepada Stadium Sultan Mohammad Ke IV bagi menyediakan kemudahan sukan lebih bermutu dan lengkap.

Menurutnya projek mega itu membabitkan kos hampir RM320 juta memberi satu signifikan bagi perkembangan dan pembangunan sosial dan ekonomi rakyat.

“Ia juga berupaya meningkatkan taraf ekonomi rakyat dengan kewujudan pembangunan bercampur di kawasan sekitar projek tersebut termasuk Kok Lanas, Pasir Puteh dan Machang,” ujarnya.

Majlis pecah tanah Stadium Negeri akan diadakan pada 30 Mac ini dijangka disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada majlis itu juga kerajaan negeri akan melancarkan projek rumah mampu milik (RMM). Sebanyak 300 unit akan dibina pada fasa I memberi kemudahan kepada rakyat terutamanya golongan muda bagi memiliki rumah.

“Konsep RMM kerajaan negeri di mana rakyat boleh membeli rumah pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran semasa,” katanya.

Oleh itu Nazri mengajak orang ramai hadir pada program berkenaan yang julung-julung kali diadakan di Kelantan.

Tiada ulasan: