Sabtu, 23 Mac 2013

SPM: 73 pelajar Maahad Perempuan cemerlang

Salmah Mat Husain | Foto Rizal Tahir,




KOTA BHARU: Maahad Muhammadi Perempuan mencipta rekod baru apabila seorang pelajarnya mendapat 11A+ dalam sejarah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumum semalam.

Nurul Ain Afifah Shaharuddin mengejutkan sekolah dan keluarga apabila muncul pelajar terbaik Maahad Muhammadi Perempuan.

Manakala pelajar yang memperolehi 11A juga meningkat kepada 31 orang berbanding 23 pelajar tahun 2011. Begitu juga pencapaian 10A meningkat kepada 22 calon berbanding 13 orang sebelumnya.

Pengetuanya, Mansur Daud berkata, sekolah tersebut mengekalkan pencapaian 100 peratus sejak 2009.

“Seramai 73 pelajar yang cemerlang dengan mendapat 9A ke atas pada SPM tahun lepas. Mereka pastinya layak menerima insentif kerajaan negeri sebanyak RM500 seorang.

“Seramai 412 calon menduduki SPM tahun lepas di Maahad Muhammadi Perempuan,” katanya pada majlis pengumuman keputusan SPM 2012 semalam.

Berucap pada majlis itu beliau berharap pelajar lepasan SPM yang tidak berhasrat menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun ini dapat mencipta nama baik sekolah ketika belajar di universiti nanti.

Mansor juga berkata, Maahad Muhammadi Perempuan mencatat keputusan terbaik peringkat negeri dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama dan STAM tahun lalu.

Manakala bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah menduduki tempat kedua.

Tiada ulasan: