Ahad, 31 Mac 2013

Siri video seks sempena PRU13

TOK PERAK
*BAGI mereka yang suka – dan tidak ada kerja lain! – puaslah menonton video dan gambar lucah menjelang PRU13. Baru-baru ini seorang pemblog yang dikaitkan dengan Umno menyebarkan gambar menunjukkan wajah seakan-akan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan hubungan intim dengan seorang lelaki.

Umno menafikan terlibat dengan pembikinan dan penyebaran gambar-gambar berkenaan, sementara Ketua Umum PKR itu telah menyaman pemblog berkenaan.

Konon banyak lagi siri video seks dan foto akan disebarkan sebagai bahan kempen memburukkan pembangkang. Seperti yang dilaporkan media, akan disebarkan juga video seks melibatkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah.

Turut divideokan dan akan disebarkan ialah spekulasi seks membabitkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan pihaknya telah dipertontonkan video seks berkenaan.

“Video ini merupakan manipulasi imej digital yang melibatkan percantuman babak-babak yang tidak berkaitan untuk memberi gambaran pemimpin-pemimpin ini terbabit dalam salah laku seks,” katanya kepada media.

Saya tidak tertarik sedikit pun untuk menonton video dan gambar seperti itu. Biang keladi mana agaknya yang tidak ada kerja – mungkin dibayar upah lumayan – untuk menyiapkan dan menyebarkan gambar seperti itu?

Musim pilihan raya atau tidak, Malaysia memang sudah biasa dengan video dan gambar seks. Seperti diketahui umum, lama sebelum video-video yang dikaitkan dengan Anwar, telah tersebar adegan ranjang melibatkan seorang bekas menteri kanan.

“Sayalah orang dalam video itu!” demikian Datuk Seri Dr Chua Soi Lek membuat pengakuan mengenai video tersebut. Secara gentleman beliau melepaskan jawatan parti dan Kabinet. Terbukti video biru itu tidak melenyapkan Dr Chua dari politik. Beliau bangkit semula dan kini menerajui MCA.

Pendek kata video dan gambar seks – tidak kira berapa hebat – belum tentu dapat menjatuhkan pemimpin.

*DATIN Seri Dr Wan Azizah mengesahkan bahawa beliau akan bertanding kerusi Dun Selangor pada PRU13. Katanya, seperti yang dipetik media: “Saya tidak ada masalah bertanding di Selengor, cuma kawasannya belum ditentukan.”

Maka ramailah yang membuat ramalan bahawa Presiden PKR itu akan menduduki kerusi Menteri Besar, menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang sejak awal dijangka bertanding kerusi Parlimen sahaja.

Kalau ramalan itu benar doktor pakar pergigian itu akan mencatat sejarah sebagai wanita pertama negara yang akan menjadi Menteri Besar. Maka boleh masuk dalam Buku Rekod Malaysia.

Jika itu berlaku Dr Wan juga akan melakar sejarah menjadi pakar pergigian kedua yang menduduki kerusi MB Selangor, selain Dr Mohamad Khir Toyo.

Tetapi semua itu akan bergantung sama ada isteri Anwar yang juga ibu Nurul Izzah itu betul-betul bertanding di Dun Selangor. Dan ada dua faktor yang lebih penting, iaitu beliau perlu menang dalam PRU13, dan PR dapat terus memerintah Selangor selepas pilihan raya. Kalau tidak dengan dua faktor itu, impian Dr Wan tidak akan menjadi kenyataan.

*AKHIR kalam, al-Fatehah. Rabu lalu saya kehilangan seorang lagi rakan seperjuangan. Zainon Ahmad, 70, menghembuskan nafas terakhir pada 2.25 petang di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu akibat kanser hati.

Pak Non (gambar) saya kenali lebih tiga dekad lalu ketika beliau bertugas di akhbar The New Straits Times. Kami menjadi lebih rapat setelah beliau menyertai The Sun.

Selain tulisan kewartawanannya yang tajam, Pak Non juga dikenali dan disenangi dalam kalangan rakan kerana jenakanya yang penuh sindiran.

Tidak syak lagi industri media dan kewartawanan kehilangan seorang tokoh yang telah banyak berjasa, terutama ke arah mewujud dan merealisasikan kebebasan akhbar di negara ini.

Dengan rasa simpati saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Pak Non, khasnya kepada isteri beliau Hasnah Abdullah. Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas rohnya, amin!

Tiada ulasan: