Khamis, 14 Mac 2013

Sedia ruang debat Tian Chua, pasukan keselamatan


DETIK DAILY

KUALA LUMPUR: Laporan polis dan demonstrasi mengutuk Naib Presiden KeADILan, Tian Chua merupakan kerja sia-sia dan membuang masa.

Ia adalah manifestasi mentaliti Umno yang tidak faham tentang sistem demokrasi, tegas pakar perlembagaan Dr Aziz Bari ketika diminta mengulas ratusan laporan polis dan bantahan kepada Ahli Parlimen Batu berkenaan

"Rakyat adalah pemilik sebenar angkatan tentera dan pasukan polis, bukan Umno-BN. Sebagai pembayar cukai rakyat berhak menilai prestasi kedua-dua angkatan tentera dan polis," tegasnya kepada Harakah.

Keselamatan dan kedaulatan negara juga milik rakyat dan mereka berhak menyuarakan pandangan sekiranya mereka berpendapat Kerajaan Umno-BN yang memerintah dikira gagal mengendalikan isu berkenaan dengan baik.

Mantan profesor undang-undang UIAM itu turut tidak setuju dengan kenyataan Menteri Pertahanan yang meminta rakyat tidak memperlekeh ATM dan PDRM.

Aziz berkata, Kerajaan Umno-BN sebaliknya perlu mencari jalan supaya mempertahanan negara tidak mudah dibolosi musuh dan apa yang berlaku di Lahad Datu memberi gambaran sedemikian.

"Prestasi angkatan tentera dan pasukan polis boleh dinilai dan kalau tidak memuaskan boleh dikritik.
Kalau badan kehakiman sendiri pun boleh dikritik, apa alasan yang menjadikan kedua-dua organisasi yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatan awam Persekutuan itu kebal daripada kritikan?" soal beliau.

Dalam krisis di Lahad Datu, kata Aziz lagi, pendekatan yang diambil oleh Umno-BN sebagai kerajaan dalam menggunakan angkatan tentera dan polis mungkin menyebabkan terkorbannya lapan anggota polis setakat ini.

Tambahnya, penceroboh yang datang itu tidak sampai satu batalion pun dan senjata yang mereka gunakan tidak sehebat mana tetapi di mana silapnya sehingga begitu ramai anggota polis terkorban?

Aziz berpendapat itulah sebenarnya konteks kepada kenyataan Tian Chua yang membangkitkan soal tentang Umno mempolitikkan isu Lahad Datu.

"Beliau perlu diberi peluang untuk menjelaskan mengapa beliau berkata begitu," ujarnya.

Beliau mencadangkan supaya Tian Chua tampil memberi penjelasan dan pihak-pihak yang berkenaan, termasuk bekas tentera dan polis perlu berani berdebat dengan beliau.

"Umno tidak harus menggunakan pencerobohan itu untuk mencipta hero segera sedangkan keluarga yang ditinggalkan dibelit kesedihan kerana kehilangan bapa dan suami," tambah Aziz.

Pakar perlembagaan itu berkata duit pampasan, pencen dan kenaikan gaji anggota-anggota yang terkorban itu adalah milik pembayar cukai, bukannya duit Umno-BN.

Tiada ulasan: