Selasa, 19 Mac 2013

Royalti: 3 kali Umno BN bohongi rakyat T’ganu

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA TERENGGANU- Rakyat Terengganu sebenarnya telah dibohongi oleh pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) sebanyak tiga kali, dalam isu mahu mengembalikan semula hak royalti yang dinafikan sejak tahun 2000.

Pengerusi Sekretariat Royalti Terengganu, Mohamad Fauzi Abu Samah berkata mengikut perkiraan pihaknya sudah tiga kali rakyat negeri ini ditipu dengan janji-janji mahu mengembalikan hak royalti tersebut.

Namun begitu, katanya janji tersebut belum ‘ditepati’ pemimpin Umno BN yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

“Janji hanyalah tinggal janji. Janji yang tidak ditepati untuk mengembalikan semula hak royalti kepada negeri Terengganu,” ujarnya pada satu sidang media di kediaman Penaung Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Ibrahim Sultan Ismail, dekat sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah dan Timbalan Pengerusi DHPP Terengganu, Jefri Chua.

Penipuan pertama, kata Mohd Fauzi pada 14 Jun 2008 oleh Abdullah, diikuti pada 13 Disember 2008 oleh Najib sendiri ketika pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dan penipuan ketiga pada 11 Mac 20011 oleh Ahmad.

Menurutnya, lebih malang lagi apabila Terengganu menarik balik kes saman kerajaan negeri terhadap Petronas dan kerajaan Persekutuan pada 21 Mac 2012 yang lalu.

Sehubungan itu, kata Mohamad Fauzi, satu memorandum bersama tandatangan rakyat Terengganu akan diserahkan kepada MB Terengganu berkait dengan penarikan balik saman royalti oleh kerajaan negeri.
Beliau turut menyeru agar seluruh rakyat Terengganu yang prihatin dan bermaruah agar bersama-sama dengan kumpulan NGO berkenaan pada 20 Mac di Wisma Darul Iman.

“Kami akan hantar memorandum bersama tandatangan rakyat Terengganu, yang akan diketuai oleh YM Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim di Wisma Darul Iman pada jam 9.30 pagi, insya Allah,” tegasnya.
-harakahdaily

Tiada ulasan: