Khamis, 14 Mac 2013

PKR gesa kerajaan gugur tuduhan ke atas Tian Chua

Wartawan Sinar Harian
 Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad 
 
KUALA LUMPUR - PKR menggesa kerajaan menggugurkan tuduhan yang dikenakan ke atas Naib Presidennya, Tian Chua berhubung kenyataan mengaitkan Umno dengan insiden pencerobohan Lahad Datu.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa, Tian Chua telah menjadi mangsa media selepas kenyataa asal ahli parlimen itu yang didakwa telah manipulasi secara sistematik oleh media arus perdana sehingga didakwa di mahkamah.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan beliau mahu memansuhkan Akta Hasutan, tetapi ini caj baru menunjukkan ada niat jahat kerajaan untuk mengenakan Tian Chua di bawah undang-undang yang menjadi anarki

"Atas apa alasan pun, Tian Chua adalah seorang penjawat awam yang mencintai negara dan telah berkhidmat selama bertahun-tahun untuk rakyat Malaysia termasuk anggota keselamatan.

"Ia adalah kejam untuk menuduh beliau mengambil ringan ke atas kematian tentera dan anggota polis di Sabah," kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Pagi tadi, Ahli Parlimen Batu itu telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Dalam pertuduhan itu, Tian Chua menghadapi pertuduhan kerana menyebut perkataan menghasut dengan membuat empat kenyataan berhubung isu Lahad Datu.
  
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama yang boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara maksimum lima tahun bagi kesalahan seterusnya.

Nik Nazmi juga mendakwa, Tian Chua turut dikenakan tekanan politik selepas ada usaha oleh pihak polis untuk menangkap Tian Chua di kafeteria mahkamah pagi tadi.

"Sedangkan beliau (Tian Chua) sudah menunjukkan pada pagi ini di kompleks mahkamah untuk menghadapi pertuduhan.

"Ia adalah jelas satu langkah untuk memalukan Tian Chua lagi," dakwa beliau.

Tiada ulasan: