Selasa, 19 Mac 2013

PKR cabar Najib kemuka calon Menteri Wanita

Oleh Nomy Nozwir

 Menurut Zuraida, Najib hanyalah memangku jawatan kementerian wanita, dan sudah tiba masanya untuk tempat itu diisi dengan calon yang sesuai. KUALA LUMPUR—Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mencabar Datuk Seri Najib Razak untuk mengemukakan calon Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sebagai respon kepada komen Najib ketika Sambutan Purple Walk di Putrajaya, Ahad lalu.

Beliau berkata, walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) menganjurkan Hari Wanita Sedunia di Putrajaya, beliau percaya ia masih tidak dapat meningkatkan penyertaan wanita dalam kumpulan pembuat dasar.

“Sebagai Ketua Wanita [Parti] Keadilan Rakyat ingin mencabar Datuk Seri Najib [Razak] selaku pemangku Menteri Wanita [Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat] untuk menamakan calon Menteri Wanita Barisan Nasional dalam pilihan raya ke 13 akan datang,” kata ahli parlimen Ampang dalam kenyataannya hari ini.

Menurut Zuraida, Najib yang juga perdana menteri hanyalah memangku jawatan kementerian tersebut, dan sudah tiba masanya untuk tempat itu diisi dengan calon yang sesuai.

“Dan hanya ada dua sebab kenapa Datuk Seri Najib tidak menamakan calon menteri wanita, pertamanya adalah kerana tiada satu pun wanita Umno yang sesuai, kerana di kalangan mereka ramai terpalit dengan pelbagai skandal salah guna wang.

“Saya percaya Perdana Menteri sendiri tidak berkeyakinan untuk menang dlm PRU13 akan datang,” kata Zuraida lagi.

Ahad lalu di acara sambutan Purple Walk sempena menyambut Hari Wanita Antarabangsa, Najib menyeru kepada kaum wanita untuk menjadi mata dan telinga kepada kerajaan, dan dalam acara tersebut melancarkan program komuniti wanita bagi membolehkan wanita melaporkan jenayah dan ancaman kepada keselamatan negara.

Program Komuniti 1Malaysia Perwani yang mensasarkan untuk menyediakan 100,000 kumpulan Perwani seluruh Malaysia meliputi 10 ke 20 wanita setiap satu akan dihubungkan dengan persatuan seperti Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita).

Walaupun kedudukan Malaysia lebih baik berbanding Thailand (66), Filipina (77) dan Indonesia (106), negara masih lagi ketinggalan jauh dengan negara jiran Singapura yang berada pada kedudukan ke-13 dalam carta pengredan negara berdasarkan tahap memperkasakan wanita, aktiviti ekonomi mereka dan kesihatan reproduktif mereka.

Walaupun wanita meliputi setengah daripada 13.1 juta pengundi berdaftar Malaysia, UNDP melaporkan wanita hanya membentuk 13.2 peratus daripada ahli Parlimen yang terpilih.

Penganalisis politik dan pemerhati juga berkata wanita dan pengundi muda antara kelompok pengundi yang akan menentukan parti yang bakal menang dalam Pilihan Raya 2013 tidak lama lagi.

Tiada ulasan: