Jumaat, 22 Mac 2013

Pimpinan DAP Perak bersatu, sedia bantu PR tawan semula negeri

 Roketkini.com



IPOH,: Mereka berbeza pendapat, kadang-kadang mereka berbalah. Namun demi rakyat dalam menghadapi PRU ke-13, mereka kembali bersatu hati dan tenaga untuk menawan kembali Perak yang dirampas secara haram oleh Barisan Nasional.

Walaupun sering digembar-gembur oleh media arus perdana yang dikawal BN, Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham dan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan M. Kulasegaran sebenarnya adalah sahabat dalam perjuangan politik.

Perbezaan mereka hanya berkisar soal pentadbiran dalaman dan kadang-kalanya salah faham, jelas Kulasegaran dalam satu ceramah besar di sini malam kelmarin.

“Walaupun ada perbezaan pandangan, saya memberi jaminan kepada semua pengundi bahawa DAP Perak akan bertandang di gelanggang pilihanraya sebagai satu pasukan yang bersatu hati,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat.

Beliau menambah bahawa DAP Perak sedar siapa musuh kepada rakyat, yakni UMNO-BN, dan sebarang perselisihan faham telah pun diketepikan demi menjamin keperluan rakyat diutamakan.

Beribu-ribu orang hadir di ceramah yang diadakan di Dewan Chon Woo, termasuk mereka yang terpaksa berdiri di laur dewan kerana sudah penuh, yang turut diserikan dengan kehadiran Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang selaku Ahli Parlimen Ipoh Timur dan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming serta Ngeh.

Menurut Kulasegaran, Perak adalah penting untuk DAP dan Pakatan Rakyat kerana ia perlu dikembalikan maruah selepas dirampas kuasa secara haram oleh BN empat tahun lalu.

“Perak juga penting kerana bukan sahaja rakyat perlu kembalikan mandat kepada PR tetapi juga membantu menambah kerusi Parlimen untuk membolehkan PR membentukan kerajaan persekutuan yang benar-benar berjuang untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Justeru, tambah beliau, UMNO-BN di Perak bukan sahaja perlu ditewaskan tetapi ditumbangkan terus melalui usaha rakyat sendiri keluar mengundi beramai-ramai untuk memastikan kemenangan besar.

Perak turut menjadi tumpuan apabila media massa melaporkan kemungkinan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengosongkan kerusi selamat Permatang Pauh untuk bertanding di Perak dalam PRU ini. – Roketkini.com

Tiada ulasan: