Sabtu, 23 Mac 2013

Perkampungan air: Jangan hirau nasihat Mahathir

Aspan Alias,

Kebelakangan ini terdengar suara-suara yang mendesak supaya perkampungan air di Timur Sabah itu dirobohkan kerana ia boleh menggugat keselamatan dan kerosakan sosial masyarakat dan negara. Antara yang meminta rumah perkampungan air itu dirobohkan ialah Dr Mahathir Mohamad dan bekas Pengarah Akademi Imigresen, Encik Shahul Hamid baru-baru ini.

Shahul Hamid telah meminta supaya disegerakan tindakan merobohkan perkampungan air itu kerana perkampungan itu telah dimasuki pendatang haram yang tidak disedari oleh pihak berkuasa kita. Perkampungan ini juga telah dikatakan memberikan masalah kerana berlaku perkahwinan campur di antara rakyat tempatan tanpa diketahui dan pendaftaran yang betul dengan kerajaan kita.

Perkampungan air ini juga mengakibatkan masalah sosial yang tidak terkawal dan tiada jalan lain selain daripada merobohkan perkampungan itu serta-merta. Pandangan ini adalah lanjutan daripada kemasukan pengkhianat-pengkhianat dari luar dan kejadian di Lahat Datu dan Semporna itu dipermudahkan oleh perkampungan air ini.

Dr Mahathir menganggap perkampungan air ini telah merosakkan pemandangan selain daripada banyak isu keselamatan yang menyelubungi kawasan kampung air itu. Tindakan merobohkan perkampungan itu sememangnya tindakan yang mudah, tetapi itu merupakan tindakan yng tidak holistik dan pandangan orang suntuk pemikiran.

Adalah lebih molek jika keadaan buruk itu diambil kesempatan oleh kerajaan dengan meningkatkan tahap dan taraf perkampungan air itu menjadi kampung air yang tersusun dan ia mungkin boleh dijadikan produk pelancongan yang baik untuk Sabah dan negara.

Dalam tahun lima puluhan dahulu kerajaan kita menghadapi ancaman komunis yang berselerak di kawasan hutan di Pahang dan negeri-negeri yang lain. Hutan kita didiami oleh pengganas-pengganas komunis kerana pada zaman itu adalah zaman darurat.

Tetapi Tunku Abdul Rahman menjadikan tempat persembunyian pengganas itu sebagai tempat untuk dimajukan dan itulah pencetus kepada penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) sekarang Felda. LKTP diwujudkan pada tahun 1956 untuk mengambil kesempatan daripada pelan menghapuskan pengganas yang tinggal di hutan rimba kita itu dengan memberikan rakyat tanah kepada yang tidak bertanah.

Tunku telah membuka hutan belantara yang luas untuk menghapuskan komunis. Tunku mengambil kesempatan itu dengan memberikan tanah hutan belantara itu kepada LKTP dan memasukkan peneroka-peneroka tanah dan dibangunkan menjadi tanah rancangan yang tersusun. Tunku telah berjaya membersihkan negara daripada ancaman komunis dengan memberikan tanah kepada peneroka-peneroka LKTP itu. Sekarang rancangan tanah itu telah menjadi besar dan merupakan ‘plantation’ yang terbesar di dunia ini dengan nama baru iaitu Felda.

Pengwujudan Felda itu merupakan sumbangan besar terhadap menghapuskan komunis selain daripada usaha-usaha keselamatan yang lain. Perkembangan Felda itu sangat berjaya sehinggakan ramai pemimpin kerajaan yang berniat serong ingin menggunakan Felda itu sebagai tempat meraih keuntungan peribadi yang besar.

Penyelesaian terhadap masalah kampung air di Sabah itu juga boleh dilakukan dengan membina kembali struktur perkampungan itu dengan baik dan diurus dengan serius untuk membina satu masyarakat perkampungan air yang tersusun. Tetapi selama ini rakyat di tempat seperti ini tidak mendapat perhatian kerajaan sehinggakan tempat ini telah didiami oleh setengah pendatang asing dan berbagai jenis manusia yang membahayakan negara.

Jangan kita dengar nasihat Dr Mahathir dengan merobohkan perkampungan itu. Perkampungan ini boleh ditambah-baik dengan tumpuan diberikan oleh kerajaan. Perkampungan air ini mungkin boleh dijadikan produk pelancongan yang baik dengan rumah yang tersusun dan dipantau oleh majlis tempatan seperti yang dilakukan terhadap penduduk lain di daratan.

Rumah-rumah perkampungan air ini mungkin boleh dibina semula secara tersusun siap dengan bekalan air bersih dan bekalan elektrik seperti rakyat lain. Jika selama ini kita ada rumah murah dan mampu milik kepada masyarakat lain, elok jika kerajaan membina rumah-rumah yang mampu milik dan tersusun bagi masyarakat perkampungan air juga.

Alasan kerana keselamatan negara itu tidak relevan kerana di taman-taman perumahan yang mewah-mewah itu juga didiami oleh penjenayah-penjenayah negara yang lebih besar seperti perasuah dan pengkhianatan terhadap harta benda rakyat secara besar-besaran. Penjenayah rasuah yang besar-besar ini juga adalah pencerobohan terhadap kedaulatan rakyat dan negara seperti kesalahan yang dilakukan oleh penceroboh dari Filipina itu. Perasuah juga adalah pengkhianat terhadap Yang di-Pertuan Agong kerana ia membahayakan negara.

Jika Pakatan Rakyat berjaya mendapat mandat, masyarakat perkampungan air ini boleh memulakan kehidupan seperti masyarakat lain di Sabah atau di mana-mana. Mereka perlu dididik tentang pentingnya menjaga keselamatan serta mempunyai kad pengenalan dan dokumen-dokumen perlu sebagai rakyat Malaysia yang sah. Diberikan juga tumpuan untuk memberikan pelajaran dan pendidikan terhadap anak-anak mereka sampai ke tahap yang tinggi.

Jika sudah tersusun dan dimajukan tempat ini dengan kemudahan penginapan yang baik dan selesa, perkampungan ini akan dikunjungi oleh pelancong-pelancong luar dan bukan lagi dikunjungi oleh pengganas dan peceroboh-penceroboh persempadanan kita. Elok diwujudkan Perbadanan Khas untuk mengendalikan isu perkampungan air ini dengan pembangunan daripada merobohkannya.

Pendeknya pandangan Dr Mahathir supaya dirobohkan perkampungan ini janganlah kita hiraukan. Dr Mahathir sememangnya mengambil jalan yang mudah untuk penyelesaian apa-apa masalah untuk kepentingan jangka pendek. Kalau diikut nasihat beliau semuanya mesti dirobohkan sebagai penyelesaiannya. Jika Dr Mahathir mahu menyumbang kepada negara, beliau boleh melakukannya dengan berdiam diri sahaja.

Dalam rekod sejarah beliau telah merobohkan UMNO yang asal dahulu, sistem Kehakiman dan perundangan serta banyak lagi institusi-institusi demokrasi negara. Hasilnya inilah yang kita sedang hadapi sekarang….hancur negara dibuatnya. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Tiada ulasan: