Oleh Hafiz Zainuddin
SEBAIK selesai urusan di Mahkamah Kehakiman Putrajaya, saya sempat bersembang sepatah dua dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Kebetulan pula saya membuat liputan kes permohonan beliau di Mahkamah Persekutuan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.
Dalam kerancakkan kami berbual berkaitan isu semasa, beliau sempat membuka kisah mengenai kejayaan peniaga jeruk di Pulau Pinang yang membuatkan dahi saya tidak semena-mena berkerut. Bukan cerita pengusaha kaum Cina yang sudah biasa berniaga jeruk tetapi mengenai kejayaan peniaga jeruk Melayu.
“Kalau macam itu, saya fikir saya pun nak jual jeruklah,” kata Guan Eng berseloroh sebelum menuruni anak tangga menuju ke keretanya.
“Jual jeruk di Pulau Pinang boleh dapat lima angka sebulan? Hebat!” fikir saya.
Demikian antara kisah nyata yang dikongsi Ketua Menteri Pulau Pinang itu kepada saya mengenai kejayaan pengusaha jeruk Melayu.
Memang ada benarnya kata Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu. Ketika bercuti di Pulau Pinang tahun lalu, saya berada ke Pasar Chowrasta. Sempatlah membeli sebungkus dua jeruk buah pala untuk dibawa pulang. Yang berniaga tu orang Melayu berumur lingkungan 30-an. Disebabkan saya ini seorang yang ringan mulut, tidak tertangguh pula saya berbual-bual dengan beliau.
“Bisnes sini okay bang?,” tanya saya.
“Alhamdulillah, bagus, sekarang pelancong pun ramai, orang sini pun banyak beli,” jawabnya sambil membungkus jeruk buah pala kering saya.
“Bukan senang nak berniaga, saingan pun banyak…,” tambah saya.
“Biasalah bang, namanya berniaga, memanglah kena berlawan (bersaing). Kalau tak berlawan, mana nak maju,” jawabnya selamba yang sudah beberapa tahun berniaga di situ.
Kisah yang dicerita Ketua Menteri Pulau Pinang itu memang mengingatkan saya ketika melancong ke sana. “Kalau tak untung, takkan lama orang berniaga,” fikir saya.
Ramai Melayu berjaya di Pulau Pinang, jadi siapa yang ditindas?
Apabila saya membuat sedikit homework mengenai industri jeruk di Pulau Pinang, rupa-rupanya ramai lagi pengusaha jeruk Melayu yang berjaya.
Fikir saya, kalau orang Melayu ditindas di Pulau Pinang, mereka tidak akan mampu untuk berjaya, apatah lagi bersaing di tengah kota George Town yang majoritinya peniaga dan taukeh jeruk Tionghua yang bukan calang-calang besarnya.
Ini baru kisah pengusaha jeruk, saya percaya, orang Pulau Pinang sendiri mesti tahu, ramai lagi pengusaha dan peniaga Melayu lain termasuk kontraktor Melayu berjaya hidup senang menjana pendapatan tinggi di negeri itu apalagi sekarang ini Kerajaan negeri Pulau Pinang mensasarkan miskin sifar pada 2013.
Mungkin bagi pembaca tegar Utusan Malaysia, mereka boleh anggap ini sebagai satu misteri,, atau menganggap anak Melayu itu punya ilmu sakti yang mampu menjana pendapatan puluhan ribu ringgit di Pulau Pinang menjual jeruk!
Sehubungan itu boleh disimpulkan, kerajaan memainkan peranan penting dalam pelaksanaan dasar. Baiknya kerajaan, maka baiklah dasar. Dengan dasar yang baik, adil dan prihatin. Rakyat mampu mandiri dan bersaing dengan tidak lagi menoleh ke belakang. Syabas buat Melayu Pulau Pinang yang berjaya.
UMNO mahu Melayu lemah?
Bagi kita, kisah kejayaan anak Melayu berniaga di Pulau Pinang adalah perkara yang membanggakan. Setidak-tidaknya ia boleh menjadi motivasi buat semua orang yang percaya kepada usaha tulang empat kerat dan persaingan positif mengembangkan perniagaan.
Inilah hakikat sebahagian kecil kisah kejayaan peniaga Melayu di Pulau Pinang, negeri makmur yang dicanang UMNO-Barisan Nasional sebagai negeri ‘Cina kafir’ yang menindas orang Melayu.
Adakah UMNO-BN tidak sedar, tohmahan jahat mereka seolah-olah menghina Melayu yang digambarkan senang ditindas dan mudah ditipu. Melayu adalah bangsa yang hebat, sejak zaman Kesultanan Melaka, orang Melayu membuktikan bahawa mereka adalah bangsa yang fleksibel, tegas, berani dan mandiri. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan