Ahad, 24 Mac 2013

Pemuda PAS tandingi 23 kerusi Parlimen, Dun

DETIK DAILY 


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Pusat dijangka meletakkan calon-calonnya di 23 kerusi Parlimen dan Dun pada PRU13 kali ini, tegas Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan.

Sehingga kini, katanya, terdapat 23 kerusi telah dipersetujui PAS Pusat untuk ditandingi dan mungkin akan berlaku pertambahan satu atau dua kerusi lagi.

Daripada jumlah itu katanya, ada negeri yang meletakkan calon Pemuda PAS di peringkat Dun, dan ada juga negeri yang hanya meletakkan calon pemuda di peringkat Parlimen.

Beliau berkata, dalam berdepan dengan PRU13 yang semakin hampir, Mohd Sany berharap semua jentera pilihan raya Pemuda PAS dapat mempertingkatkan gerak kerja di samping terus mendekati anak-anak muda dengan program-program yang "mesra" dengan mereka.

"Dalam tempoh yang berbaki sebulan ini, saya berharap tahap kesediaan Pemuda PAS dapat dipertingkatkan. Program-program untuk anak muda seperti sukan, konvoi dan hiburan Islam tetap diteruskan.

"Begitu juga sekurang-kurangnya petugas Pemuda PAS dapat 'menjaga' 10 pengundi baru dengan memantau mereka agar undi mereka berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat," katanya kepada Harakah.

Selain itu ujar beliau, setiap ahli dan jentera pilihan raya hendaklah mematuhi arahan pimpinan dari masa ke semasa. Setiap petugas Pemuda juga jangan sekali-kali abaikan keselamatan mereka di samping tidak bertindakbalas terhadap provokasi pihak lawan.

Sany berkata, dalam menentang sebarang perkara yang mencetuskan suasana tidak aman, Pemuda PAS hendaklah melaporkan kepada pihak keselamatan agar tindakan segera dapat diambil.

Tiada ulasan: