Ahad, 31 Mac 2013

Pas Negeri Sembilan harap SPR tetapkan tarikh pilihan raya waktu terdekat

KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB
Khairil Anuar Wafa
Khairil Anuar Wafa
 
SEREMBAN - Pemuda Pas Negeri Sembilan berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh pilihan raya bagi kerusi Dun dalam waktu terdekat meskipun badan itu mahu mengadakan pilihan raya umum serentak membabitkan semua negeri.

Ketua Pemuda Pas negeri, Khairil Anuar Wafa berkata, pihaknya berharap agar SPR akan memenuhi peraturan ditetapkan, di mana mereka perlu mengeluarkan writ iaitu surat kuasa kepada pegawai pengurus pilihan raya sebaik sahaja Dun negeri ini dibubarkan.

"Mengikut Seksyen 12(3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, writ berkenaan perlu dikeluarkan SPR dalam tempoh 10 hari dari tarikh pembubaran atau apabila berlakunya kekosongan di luar jangka.

"Writ tersebut mengandungi arahan mengehendaki pegawai pengurus sesuatu kawasan mengambil langkah untuk mengadakan pilihan raya mengikut cara ditetapkan oleh undang-undang," katanya kepada Sinar Harian selepas mengikuti program Jelajah Treler Negara Berkebajikan Pakatan Rakyat (PR) di Taman Gadong Jaya, di sini, semalam.

Menurut Khairil, pada masa sama, satu notis pilihan raya juga akan diwartakan dan ditampal di lokasi yang mudah untuk disemak orang ramai, di mana tertera tarikh penamaan calon serta tarikh pengundian yang akan dijalankan.

"Justeru, kita ingin melihat bilakah surat kuasa terbabit akan dikeluarkan bagi negeri ini, memandangkan masih ada lapan hari lagi, termasuk hari ini (semalam) sebelum tempoh ditetapkan tamat.

"Namun, seandainya writ itu masih tidak dikeluarkan selepas 10 hari, maka jelaslah SPR telah melanggar peraturan mereka sendiri, sekali gus membuktikan betapa suruhanjaya berkenaan tidak bebas membuat keputusan berikutan dikongkong pihak tertentu yang berkepentingan," katanya.

Dun Negeri Sembilan terbubar dengan sendiri Khamis lalu.

Tiada ulasan: