Mohamed Hanipa Maidin, |
(Papan tanda yang dipasang di Kota Bharu selepas Najib dakwa PAS ada 7 dosa)
Setelah bertahun-tahun berpolitik tanpa mengira isu dosa dan pahala, Presiden Umno tiba-tiba bercakap tentang dosa. Maka dituduhnya PAS membuat 7 dosa. Kerana dosa-dosa itu maka mengikut logik Najib PAS wajar ditolak oleh rakyat. Komen saya terimakasih Alfadhil Ustaz Najib. Walau apa pun niat anda, mengingatkan tentang dosa dan pahala suatu yang baik.
Saya tidak bercadang untuk ulas satu persatu 7 dosa yang Najib tuduh itu. Cukuplah saya ulas satu atau dua dosa yang Najib katakan itu. Saya pun pelik bukan sahaja PAS dituduh berdosa malahan YB Tian Chua pun dituduh berdosa. Bagi kita orang Islam dosa dan pahala ada kaitan dengan aqidah.
Jika orang Islam bersyahadah dan beriman dengan Allah yang Esa dan Hari Akhirat maka setiap kehidupannya tidak boleh lari dari dosa dan pahala. Adakah perlu kita 'mendosakan' orang bukan Islam jika syirik itu sendiri mengharamkan mereka untuk mendapat pahala.
Maka adakah perlu Najib mendosakan Tian Chua? Tidakkah beliau terfikir Tian Chua mungkin mempunyai banyak lagi dalil untuk menuduh Najib dan Umno melakukan dosa ..mungkin lebih dari 7 sama ada 77 atau 777 atau 7, 777 dosa...Mana lebih teruk orang Islam tuduh orang bukan Islam berdosa atau orang bukan Islam tuduh orang Islam berdosa?
Dalil pertama Najib bagi menyokong teori beliau bahawa PAS berdosa adalah pendirian PAS bahawa tidak salah orang Islam menggunakan kalimah Allah. Bagi Najib pendirian PAS ini satu dosa. Apa dalilnya? Malangnya tiada sebarang dalil diberikan. Dengan lain perkataan ianya satu tuduhan kosong.
Kecetekan ilmu Najib sehingga beliau tidak sedar teori beliau tersebut amat amat berbahaya. Hakikatnya tuduhan beliau bahawa PAS berdosa kerana benarkan orang bukan Islam guna nama Allah secara tidak sedar adalah tuduhan ke atas Allah dan Nabi Muhammad s.a.w kerana Allah dan RasulNya tidak melarang bukan Islam gunakan nama Allah.
Sedarkah Najib di dalam Al-Quran Allah memberitahu kita "jika kamu (Muhammad) tanya mereka (orang-orang musyrikin) siapakah yang mencipta langit dan bumi nescaya mereka pasti akan kata Allah" ( surah al Luqman 31 : 25 ).
Dalam tafsir Al-Tabari, beliau menafsirkan kalimah "hum" (mereka) pada perkataan "wa lain saalta hum" (jika kamu tanya mereka) merujuk kepada "golongan musyrikin yang syirik kepada Allah dari kaum kamu wahai Muhammad.".
Jika Allah sendiri beritahu kita kaum musyrikin menggunakan kalimah Allah siapakah PAS untuk haramkan penggunaaan nama Allah oleh orang kafir. Siapa pula Najib nak kata PAS berdosa kerana mengambil pendirian seperti dinyatakan di dalam Al Quran iaitu bukan Islam sendiri gunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada Pencipta langit dan bumi.
Sedarkah Najib bahawa Rasulullulah sendiri dalam sulh al- Hudaibiyyah tidak melarang wakil kafir Al Quraisy, Suhail a Amr yang meminta digunakan kalimah "bismika Allah" (dengan nama Mu Allah) bagi menggantikan kalimah "Bismillahi al Rahman al Rahim" ( Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih).
Adakah kita pernah dengar para sahabat r.a katakan pada Nabi s.a.w (na'uzu billah) Nabi berdosa kerana benarkan kafir Quraisy guna kalimah Allah. Jika diikut logik Najib bukan sahaja PAS berdosa kerana ikut sunnah Rasulullah s.a.w bahkan Nabi Muhammad s.aw. , na'uzu billah, juga akan dikira berdosa oleh Najib dan Umno kerana membenarkan kafir Quraisy menggunakan kalimah Allah.
Najib perlu sedar Islam adalah asas perjuangan PAS. Tidak seperti Umno, rujukan utama perjuangan PAS adalah Al Quran, Al Hadith, Ijma' dan Qiyas. Umno dan Najib perlu perhatikan arah perjuangan mereka sebelum menuduh PAS melakukan 7 dosa. Ya, PAS bukan sunyi dari dosa. Namun adakah Najib terlalu naif untuk berfikir rakyat mudah untuk percaya PAS melakukan lebih banyak dosa dari Umno. Yang lebih malang tuduhan bahawa PAS melakukan dosa dibuat tanpa hujah atau dalil.
Jika PAS ingin mengikut rentak permainan Umno dengan memainkan isu dosa sudah tentu jauh lebih mudah untuk PAS menuduh Umno berbuat dosa berserta dengan nas naqli dan aqli.. Siapakah yang menzalimi rakyat Terengganu dan Kelantan dengan merompak wang royalti? Rompak wang royalti tidak berdosa kah? Siapa yang menzalimi pimpinan PAS di bawah ISA dan tidak berdosakah menzalimi rakyat dengan Akta zalim?
Siapakah yang mengaib dan memfitnah Anwar Ibrahim tanpa rasa berdosa dan dengan penuh berselera? Siapakah yang banyak menghina Islam dan hukum hakamnya dan tidak berdosakah hina hukum Islam?
Rasuah dalam pilihanraya dan pemilihan parti Umno sendiri tidak berdosakah? Menyalahguna wang rakyat seperti yang dilakukan oleh keluarga Shahrizat tidak berdosa kah? Terlalu banyak untuk disenaraikan di sini.
Nasihat PAS kepada Najib tidak perlulah bersusah payah tuduh PAS melakukan dosa dalam keadaan kamu sendiri berselirat dengan dosa. Cukuplah jadi bahan ketawa !!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan