Khamis, 7 Mac 2013

Nafi projek lebuh raya, terowong dalam laut P. Pinang dilaksana syarikat modal berbayar RM2

Roketkini.com



GEORGE TOWN,: Pengerusi Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Zulkifli menafikan dakwaan projek tiga lebuhraya dan terowong bawah dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion akan dilaksanakan syarikat bermodal berbayar hanya RM2.

Katanya, dakwaan pemimpin Barisan Nasional seperti yang dilaporkan setengah akhbar hari ini adalah salah kerana projek berkenaan akan dilaksanakan empat syarikat dengan modal berbayar keseluruhan sebanyak RM4.5 bilion.

Beliau berkata, konsortium projek itu berjaya dalam tender terbuka dan telus yang dijalankan sejak 2011 untuk membina lebuhraya utama daripada Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (LCE) Persiaran Gurney ke Lebuhraya LCE dan sebuah terowong bawah dasar laut daripada Persiaran Gurney dan Bagan Ajam.

“Kenyataan yang dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd Jait 4 Mac lalu bahawa Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd adalah sebuah syarikat special purpose vehicle (SPV).

“Rakan kongsi syarikat itu Zenith Construction Sdn Bhd bersama China Railway Construction Corporation Ltd dengan ekuiti 70% dan modal berbayar masing-masing sebanyak RM3.5 juta dan RM4 bilion.

“Beijing Urban Construction Group pula dengan ekuiti 10% dan modal berbayar RM 541 juta, Sri Tinggi Sdn Bhd ekuiti 10% dan modal berbayar RM 3.7 juta dan Juteras Sdn Bhd dengan ekuiti 10% dan modal berbayar RM1 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zarul Ahmad berkata, keseluruhan modal berbayar empat syarikat berkenaan adalah RM4.5 bilion yang memenuhi kriteria kerajaan negeri yang meletakkan modal berbayar minima RM381 juta.

Menurutnya, Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd mempunyai modal berbayar RM2 kerana ditubuhkan khas oleh empat syarikat terbabit untuk membida projek itu dan akan dibubarkan jika gagal dalam tender itu, sebaliknya jika berjaya SPV dan empat rakan kongsi atau pemilik saham mestilah menandatangani surat penerimaan secara langsung dengan kerajaan negeri.

“Dengan kata lain bukan hanya sepucuk surat penerimaan tetapi terdapat lagi empat (lima semunya) surat penerimaan untuk memastikan ia dijalankan oleh syarikat induk masing-masing dan bukannya hanya dengan Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd.

“Oleh itu adalah tidak benar sama sekali bahawa projek RM6.3 bilion itu akan dilaksanakan oleh syarikat bermodal RM2 sebaliknya oleh empat syarikat dengan modal sebanyak RM4,549.2 juta,” ujarnya.

Menurut beliau, apabila kontrak formal dimuktamadkan selepas perbincangan lanjut beberapa bulan lagi, semua syarikat rakan kongsi diperlukan untuk menandatangani surat perjanjian bagi memastikan projek ini dijalankan oleh syarikat induk yang berprestij.

Katanya, China Railway Construction Corporation Ltd dan Beijing Urban Construction Group adalah syarikat pembinaan gergasi dari China yang berpengalaman melaksanakan projek besar seperti keretapi, terowong dan Stadium Olimpik “Bird Nest” di Beijing. – Roketkini.com

Tiada ulasan: