Khamis, 14 Mac 2013

Mencari kambing hitam di Lahad Datu: Anwar bakal ditahan?



Oleh Ahmad Lutfi Othman

Tarikh PRU13 hampir tidak teranjak lagi. Episod hitam di Lahad Datu dan Semporna juga sukar menjarakkannya. Najib Razak memang tiada pilihan, tersepit dalam dilema, petanda kurang yakin dan gelabah untuk mendapatkan semula mandat rakyat.

Beliau merupakan Perdana Menteri paling lama bertakhta melalui sokongan ramai kepada pendahulunya (Abdullah Ahmad Badawi). Sebelum ini setiap perdana menteri baru berusaha seawal mungkin mengadakan pilihan raya seawal bagi mengesahkan kedudukannya.

Sepatutnya Najib memanggil sidang khas Parlimen, menunjukkan setiakawan seluruh rakyat menyokong penuh pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan negara, mengutuk pencerobohan, sekali gus memberikan perhargaan kepada perwira yang terkorban, serta membantu keluarga yang ditinggalkan, terutama memastikan anak-anak malang itu mendapat pendidikan sehingga ke universiti.

Dan bukannya terus menunjukkan kerendahan budi memainkan politik kebencian dengan mengekspolitasi kenyataan Ahli Parlimen Batu, Tian Chia secara cukup melampau. Walhal Naib Presiden KeADILan itu sudahpun membuat penjelasan di atas kenyataan awalnya yang menimbulkan kontroversi itu.

Reaksi Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Husein di rumah salah seorang balu perajurit yang terkorban jelas menyerlahkan dendam dan amarah tidak terkawal.

Begitu juga dengan respons melulu Timbalan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar terhadap siasaran ke atas Tian Chua, dengan menegaskan pihak polis tidak akan melepaskannya dengan mudah. “Mana boleh lepas?” katanya.

Melihat gelagatnya dalam berita TV, saya terasa cukup kurang selesa  dan "menjengkelkan". Dan ini bukan kali pertama Khalid bertindak sebegitu rupa, berbeda sama sekali dengan perwatakan ketuanya, Ismail Omar. (Saya kira panglima angkatan tentera, Zulkifeli Mohd Zin juga dilihat terjebak dalam polemik "sandiwara) yang sengaja diperbesarkan media).

Sebenarnya, bagi saya, kritikan atau teguran kepada pasukan keselamatan, hatta membabitkan operasi kritikal seperti Ops Daulat di Lahad Datu, tidak boleh dianggap sebagai "memperlekeh, memperkecil apatah lagi menghina"

Dalam hal ini, saya tertarik dengan ulasan bekas profesor UIAM, Dr Abd Aziz Bari:

"Rakyat adalah pemilik sebenar angkatan tentera dan pasukan polis, bukan Umno-BN. Sebagai pembayar cukai rakyat berhak menilai prestasi kedua-dua angkatan tentera dan polis."

Tambahnya, keselamatan dan kedaulatan negara juga milik rakyat dan mereka berhak menyuarakan pandangan sekiranya mereka berpendapat Kerajaan Umno-BN yang memerintah dikira gagal mengendalikan isu berkenaan dengan baik.

"Prestasi angkatan tentera dan pasukan polis boleh dinilai dan kalau tidak memuaskan boleh dikritik. Kalau badan kehakiman sendiri pun boleh dikritik, apa alasan yang menjadikan kedua-dua organisasi yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatan awam Persekutuan itu kebal daripada kritikan?" soal Dr Aziz.

Justeru, ramai bimbang jika pemimpin Pakatan Rakyat bakal  "dikambing-hitamkan". Serangan berterusan terhadap Anwar Ibrahim dan percubaan mengaitkannya sebagai pengkhianat atau dalang penceroboh, termasuk memanipulasi lagu "Tanya Sama Najib" tidak boleh dipandang ringan, walaupun ia nampak seperti skrip "Maharaja Lawak".

"Mungkin insiden pencerobohan itu akan digunakan oleh anasir tertentu dalam Umno untuk memastikan Anwar sendiri ditahan, disiasat dan seterusnya didakwa di bawah undang-undang keselamatan," kata Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli.

Sedangkan banyak pihak  melihat insiden berdarah itu ada kaitan dengan "Projek IC", inisiatif pemimpin Umno sendiri. Pendedahan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Zaini Othman dalam wacana anjuran Institut Kajian Etnik (KITA) di UKM, 4 Mac lalu sepatutnya mencerdaskan minda.

"Ada di kalangan penceroboh bersenjata itu sudah pun mendapat kerakyatan Malaysia melalui MyKad biru atau status pemastautin tetap di Lahad Datu dan Semporna. Apabila mereka mendarat di daerah Tawau dan memasuki perkampungan di Lahad Datu, mereka sebenarnya bertemu sanak saudara atau pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Seorang rakan menelefon, sehingga Selasa lalu, jumlah kematian penceroboh dicatat 57, tetapi hanya 23 mayat ditemui. "Pelik, 'kan?" katanya.

Selain itu, demonstrasi tiga NGO mesra-Umno di hadapan ibu pejabat KeADILan, 11 Mac lalu hanya membuktikan peluang kebebasan bersuara gagal dimanfaatkan dengan baik. Secara peribadi, saya percaya aksi tunjuk perasaan adalah sebahagian daripada hak asasi yang perlu dipertahankan. Tapi usahlah merusuh sehingga sanggup membaling batu, telur dan kayu pula.

Ketika Pakatan dan masyarakat sivil lainnya dapat menganjurkan siri himpunan, termasuk demonstrasi, dengan aman dan tertib, penyokong Umno-BN bertindak sebaliknya. Majlis ceramah Pakatan diganggu secara tidak bertamadun sama sekali.

Padanlah ketua-ketuanya takut berdebat, juak-juak pula bertindak bacul mengamalkan politik rimba. Dan profesionalisme pasukan polis terus dipersoal kerana ada bukti berlaku "pilih kasih".

Sepatutnya ketika negara menginjak ke era "sistem dua parti", rakyat dapat menyaksikan setiap gabungan berlumba-lumba menawarkan khidmat, polisi dan prestasi terbaik, bukan terkepung dalam budaya politik kuno.

Dr Siddiq Fadzil menjelaskan situasi yang dihasratkan itu: "Kehadiran dua kekuatan politik yang seimbang adalah penting untuk memacu persaingan memberikan khidmat yang lebih baik untuk rakyat. Tanpa saingan dan tandingan yang bererti, parti yang berkuasa akan berasa terlalu selesa dan seterusnya akan mengalami penurunan komitmen dalam memberikan khidmat yang lebih baik."

Zaman  BN mengambil sikap "taken for granted" disebabkan rakyat tiada alternatif memilih kerajaan baru sudah berlaku. Namun perangai hodoh parti yang berkuasa sejak merdeka itu tidak dapat diubah lagi.

Justeru, pengundi perlu proaktif merehatkannya dan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat pula.

Dalam pada itu, SMS seorang rakan, profesor di sebuah universiti, agak mengejutkan saya: "Benarkah ada ura-ura Anwar Ibrahim akan ditahan kerana kes Lahad Datu?"

Rupanya ramai juga yang risau dengan kenyataan pihak berkuasa, seperti mahu mengaitkan "pihak ketiga" dalam negara sebagai dalang pencerobohan itu.

II.

Menekuni majalah Dian (Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd), yang sarat dengan paparan isu menarik dan titipan ilmu bermanfaat begitu mengujakan saya, apatah lagi menyedari ia diterajui rakan baik saya, Mohd Nasir Awang, dengan sokongan kolumnis yang berkaliber dalam kepakaran masing-masing.

Segera saya terkenang majalah Dian dalam tulisan jawi, koleksi kekanda Dinsman, yang menghiasi rak lama di kampung. Saya membesar dengan tradisi ilmu Dian yang cukup mantap. SUkar dibayangkan, sekitar tahun 70-an ada majalah dapat bertahan dengan tulisan semi-akademik.

Dan kini warisan itu berada di pasaran; sayang sekali, promosi agak kurang dan kehadirannya tidak dirasai.

Rumusan saya, anda rugi jika tidak memiliki majalah Dian!

Tiada ulasan: