Jumaat, 8 Mac 2013

Manifesto: Pakatan selangkah ke depan



Oleh LIM HONG SIANG 

TIDAK pernah dalam sejarah bahawa barisan pembangkang betul-betul bersedia untuk berdepan dengan pilihan raya umum. Paling lumrah isu rundingan kerusi, yang gagal mencapai muafakat sehingga saat-saat terakhir. Kemudian masalah kesempitan sumber kewangan, tenaga kerja untuk kempen dan sebagainya.

Sungguhpun pemimpin pembangkang, terutamanya Lim Kit Siang suka meramalkan tarikh PRU yang ditentukan dengan kuasa mutlak Perdana Menteri, apa yang pasti di akhirnya, pembangkang tetap berdepan dengan PRU dalam keadaan kelam-kabut.

Manifesto antara masalah di kalangan parti pembangkang. Barisan Alternatif (BA) sempat melancarkan manifestonya, dengan tema "Ke Arah Malaysia Yang Adil" sebelum PRU 1999 diumumkan. Namun demikian, terlalu banyak isu yang menanti untuk menguji gandingan politik yang baru ini.

Isu Negara Islam, Hukum Hudud, Malaysian Malaysia dan sebagainya, memperlihatkan betapa rapuhnya kerjasama antara empat parti politik ketika itu, iaitu PAS, ADIL, DAP dan PRM. Semestinya ada pihak yang melenting apabila isu ini disentuh, bagai saraf dicungkil. Maka BN duduk bertepuk tangan saja untuk menonton apa yang berlangsung di depan mata.

Barisan Alternatif hampir tidak bermakna setelah DAP mengambil keputusan untuk menarik diri. Tiada manifesto bersama yang melibatkan DAP selepas itu. Parti pembangkang mengemukakan manifesto masing-masing pada PRU 2004 dan PRU 2008. Umno-BN semestinya tidak khuatir bahawa kuasa kerajaan Persekutuannya bakal tergugat apabila pesaing politiknya berpecah-belah.

Mungkin ini puncanya Umno-BN tidak memandang berat manifesto yang bakal disajikan. Cukuplah sekadar dengan melaungkan beberapa slogan seperti "Selamat, Aman, Makmur" (2008), atau "Cemerlang, Gemilang, Terbilang" (2004). Dipetik beberapa ayat daripada Bajet, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan dan sebagainya, dihiasi pula dengan gambar berwarna, maka itulah yang dinamakan "Laporan Kemajuan dan Manifesto BN".

Namun, Pakatan Rakyat berjaya mengubah rentak dan corak permainan PRU kali ini. Selain berterima kasih kepada Pm Najib Razak yang melengah-lengahkan tarikh PRU 13 sehingga tidak banyak lagi ruang untuk teka-teki, kesungguhan pimpinan dalam Pakatan harus diiktiraf.

Meskipun manifesto Pakatan ini tidaklah sempurna untuk memenuhi setiap keperluan dalam masyarakat ini, ia wajar diiktiraf sebagai dokumen yang paling terperinci daripada barisan pembangkang dalam usahanya meyakinkan rakyat untuk mentadbir negara. Kalau manifesto BA sekadar menjelaskan "konsep", kini manifesto Pakatan memperlihatkan dasar yang lebih jelas.

Lebih penting, ketika bertembung dalam "perang", "selangkah lebih pantas daripada musuh" bakal memberi kelebihan kepada diri sendiri. Misalnya, dalam manifestonya, Pakatan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (Gabungan Sekolah Menengah Cina) atau UEC bagi tujuan kemasukan ke institusi pendidikan tinggi dan menerimapakai kelayakan bagi tujuan permohonan kerja. Pengiktirafan ini lantas meleburkan rasa "surprise" (terperanjat) yang pada asalnya mahu dibawa Najib selepas pembubaran Parlimen.

Ceritanya begini. Najib telah menjadi PM pertama untuk hadir dalam majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dong Zong pada Februari lalu. Pimpinan Dong Zong sebenarnya menaruh harapan yang tinggi agar Najib membawa "buah tangan" pada pagi itu, antaranya pengiktirafan UEC. Namun Najib tidak membuat apa-apa pengumuman dalam kunjungannya selama 45 minit itu, malah tidak bersedia untuk memberi ucapan. Jadi, kehadiran Najib membawa lebih "kekecewaan" daripada "kegembiraan". Khabar angin di sebaliknya mendakwa bahawa Najib hanya akan membuat pengumuman pengiktirafan UEC selepas Parlimen dibubarkan.

Jikalau desas-desus ini benar, maka percaturan Najib untuk membawa "surprise" kepada masyarakat Cina telah gagal. Kini, Najib meletakkan BN dalam dilema. Jika diiktiraf UEC, maka langkah ini dianggap meniru langkah Pakatan. Maknanya, tiada "nilai tambahan" untuk BN. Sebaliknya, seandainya Najib enggan mengiktiraf UEC selepas lawatannya ke ibu pejabat Dong Zong, dan selepas pengumuman manifesto Pakatan, maka Najib, malah BN akan dikutuk masyarakat Cina.

Ia bukan sekadar persoalan strategi. Padahal, isu UEC telah wujud untuk sekian lama. UEC diiktiraf institusi pendidikan serata dunia, bahkan untuk puluhan tahun kebelakangan, ramai bakat dari sekolah menengah persendirian Cina yang tidak diiktiraf di Malaysia, telah berjaya membuktikan kemampuan diri di luar negara. UEC kalau diiktiraf pada lima tahun atau 10 tahun yang lalu, ia semestinya memberi pulangan undi Cina yang cukup besar kepada BN Namun, semakin hari semakin terkilan komuniti daripada aliran pendidikan bahasa Cina. Kerajaan seolah-olah tidak menghargai bakat mereka, malah mahu menjadikan dasar sebagai gula untuk memancing undi. Ia sesuatu yang cukup menjelekkan.

Saya mengisahkan isu ini, meskipun sebagai kritikan terhadap BN, tetapi juga sebagai peringatan kepada Pakatan Rakyat. Mengetengahkan dan melaksanakan dasar yang baik dan adil adalah tanggungjawab sesebuah kerajaan. Seandainya dasar ini dilaksanakan sebaik memegang tampuk kuasa, ataupun setelah semua syaratnya dipenuhi, maka ia menunjukkan bahawa kerajaan ini benar ikhlas menunaikan tanggungjawabnya. Contohnya cukup jelas, apabila MB Perak yang asal, Nizar Jamaluddin memberi geran tanah kepada mereka yang memerlukan sebaik sahaja menyandang jawatan itu. Rakyat berkempen tanpa syarat untuk membangkitkan semula Nizar meskipun cuba dijatuhkan Umno-BN.

Tunggu dan lihat apa yang akan terjadi pada PRU13.

*Lim Hong Siang ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. E-mel: hongsiang27@gmail.com

Tiada ulasan: