Sabtu, 2 Mac 2013

Lebih 10 Ribu Hadir Dengar Cerita Balasubramaniam

MSO

Semasa di Kelantan Bala kunjung Tokguru Nik Aziz.
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang menjadi promoter membawa penyiasatan persendirian Balasuberamaniam a/l Perumal memaklumkan majlis talk show #Tanya Bala "Siapa Arah Bunuh Altantuya" siri kedua yang berlangsung di Bachok malam tadi dihadiri kira-kira 10 ribu orang.

Menurut satu kenyatan SAMM walaupun Talkshow PI Bala berlangsung di daerah Bachok, Kelantan, namun mereka yang hadir bukan sahaja dari sekitar pelusuk negeri Kelantan, malah kehadiran 10 ribu yang memenuhi padang di Kompleks Pendidikan Islam Kg Badak adalah termasuk pengunjung dari negeri jiran, Terengganu.

Menurut kenyataan itu kehadiran yang besar di Bachok ini menjadi bukti betapa isu pembunuhan wanita Monggolia yang berkait rapat dengan rasuah penyelewengan pembelian Scorpene, masih menjadi perhatian utama rakyat.


Lebih istimewa kata kenyataan itu yang di e-mailkan ke blog Merah Tinta, program malam tadi menyaksikan pertemuan Bala dengan Tokguru Nik Aziz bagi mendapat restu dan pedoman untuk meneruskan niat murni beliau untuk melihat negara ini dibebaskan dari cengkaman Barisan Nasional dan seterusnya memberi laluan kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir Malaysia. 

Bala percaya, beliau mampu memberi tekanan besar kepada Najib dan Rosmah melalui pendedahan pelbagai peringkat yang dibuatnya.
"Kami yakin dan percaya sebahagian besar rakyat negara ini mengikuti perjalanan kes pembunuhan misteri Altantuya dan rasuah Scorpene secara serius. Kerana itu juga kehadiran Bala sangatlah dinantikan dan peluang untuk bersama Bala sambil menghirup 'first hand information' tidak boleh dilepaskan," kata kenyataan itu.
Tegas kenyataan itu lagi, SAMM pimpinan Badrul Hisham Shahrin itu akan terus menjelajah ke seluruh negara membawa aksi demi aksi dengan pelbagai format Talkshow bersama PI Bala.

Episod ketiga Talkshow #TanyaBala, akan turun ke Johor pada tarikh 6 Mac, lokasinya di Parit Sulong, Batu Pahat akan dikendalikan oleh SAMM Johor dengan kerjasama warga tempatan. Manakala episod ke-4 pula SAMM akan membawa Bala terbang ke negeri Sabah pada tanggal 9 Mac 2013.
Tambah kenyataan itu lagi, SAMM dalam rangka menyusun fasa seterusnya untuk membawa Bala ke seluruh pelusuk negara dan juga meneruskan fasa kedua #AmaranPRU. SAMM juga mengalu-alukan sebarang sumbangan bantuan untuk program dan gerakan anak muda.

Tiada ulasan: