Ahad, 3 Mac 2013

Lahad Datu: Kenapa polis bukan tentera kendali

Harakahdaily,


KOTA KINABALU: PAS mendesak agar pihak kerajaan tampil memberikan penjelasan sebenar berhubung insiden yang berlaku di Lahad Datu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, ketelusan pihak kerajaan memberikan penjelasan adalah penting bagi menjaga integriti dan maruah Malaysia.

“Kita harap kerajaan kena telus, kena bertanggungjawab... kerana ini melibatkan masalah integriti dan maruah negara.

“Apa lagi sudah sampai ke tahap ada yang sudah terbunuh dalam kejadian ini. Jadi, tak boleh dianggap sebagai satu perkara yang tidak serius,” jelas beliau.

Tambah beliau, isu tersebut seolah-olah ada sesuatu yang hendak disembunyikan oleh pihak kerajaan apabila melibatkan polis dibarisan hadapan pertahanan negara.

“Pada pandangan kita, isu ini sepatutnya ditangani oleh tentera bukan polis. Kenapa sebaliknya, adakah ada sesuatu yang cuba disembunyi oleh kerajaan. Ini penjelasan yang kita minta," kata beliau.

Mustafa berkata demikian kepada Harakahdaily selepas menyertai program dengan bakal-bakal calon PAS di sebuah hotel dekat sini semalam.

5 lagi polis mati

Insiden di Lahad Datu naik ke fasal yang sangat membimbangkan sekarang apabila lima lagi anggota polis diberitakan terkorban di Semporna.

Bernama melaporkan, seorang pegawai dan empat anggota polis meninggal dalam serangan di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah semalam.

Menurut Bernama, ia disahkan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar pada sidang media di Lahad Datu pagi ini.

Tiada ulasan: