Khamis, 21 Mac 2013

Kanak-kanak perempuan maut terkena kipas helikopter kawalan jauh

Wartawan Sinar Harian

SEREMBAN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas terkena kipas helikopter kawalan jauh ketika menyaksikan majlis perasmian padang bola sepak sintetik di Kompleks Belia dan Paroi di sini, kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Nurdamia Husnina Banee Yamin meninggal sejurus tiba untuk rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar, dalam kejadian kira-kira 10 malam itu.

Alat mainan itu turut mengenai bapanya Banee Yamin Idris, 35, di kepala dan dia turut menerima rawatan di hospital yang sama.

Seorang saksi, Abdul Latif Salim dipetik Bernama berkata, helikopter mainan itu hilang kawalan sebelum menjunam ke arah orang ramai.

Dia juga sempat mengelak sebelum pesawat mainan itu terkena bayi tersebut yang sedang dipangku bapanya.

"Saya lihat kepala bayi itu berdarah yang kemudiannya dia dikejarkan bapanya ke ambulans di situ untuk dibawa ke hospital," katanya.

Pertunjukkan helikopter kawalan jauh itu merupakan sebahagian daripada acara di majlis tersebut yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa di hospital melahirkan rasa sedih dan dukacita dengan kejadian itu yang disifatkannya sebagai di luar jangka.

Katanya, kerajaan negeri akan menubuhkan lembaga siasatan bagi menyiasat bagaimana kejadian berlaku dan memastikan ia tidak berulang di masa depan.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan keluarga mangsa akan mendapat bantuan sewajarnya terutama bagi urusan pengkebumian bayi tersebut.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata pengendali alat terbabit yang berusia 40 tahun telah membuat laporan polis dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: