Jumaat, 29 Mac 2013

Hindraf tidak rela ditipu BN



Oleh Nyam Kee Han


Pada 14 Mac 2013, saya menaiki komuter KTM seorang diri dari UKM ke Rawang. Sebaik sahaja sampai di Rawang, saya menuju ke sebuah kuil Hindu yang berdekatan. Empat hari yang lepas, saya dan empat ahli jawatankuasa Sahabat Rakyat (Yong Siew Lee, Ang Peri Shan, Choo Shinn Chei dan Chen Xin) ke kuil yang pernah kami lawat untuk menyertai upacara doa dan mogok lapar yang diketuai oleh Pengerusi Hindraf,  P Waythamoorthy.

Tersentuh dengan semangat mereka, saya membuat keputusan untuk menyertai mogok lapar Hindraf selama 24 jam sebagai tanda penghormatan dan sokongan kepada Waythamoorthy.

Tindakan mogok lapar Waythamoorthy ini adalah untuk meningkatkan kesedaran rakyat terhadap perjuangan hak dan maruah kaum India di Malaysia yang majoritinya hanya tinggal sehelai sepinggang.

Beliau berharap rejim pemerintah menghentikan penindasan kejam terhadap kaum India di Malaysia.
Beliau juga berharap kerajaan Barisan Nasional yang diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Anwar Ibrahim akan memandang serius terhadap kesengsaraan kaum India akibat daripada penindasan yang berterusan.

Penyertaan saya dalam tindakan mogok lapar ini adalah untuk menyokong tindakan Hindraf yang memperjuangkan hak-hak kaum India yang telah diketepikan sekian lama, dan juga hak-hak bangsa minoriti lain serta menyokong pendirian Hindraf yang bersifat bukan berpartisan sepanjang perjuangan mereka.

Pandangan saya di atas merupakan hasil tinjauan saya bersama dengan rakan-rakan seperjuangan dari negeri Johor. Kami berpeluang berbincang secara mendalam dengan Waythamoorthy dan Hindraf untuk memahami perkembangan dan perubahan semasa Hindraf. Saya dapat merasai ketabahan dan keikhlasan Waythamoorthy dalam perjuangannya.

Gerakan Hindraf yang memperjuangkan hak dan maruah kaum India serta menentang penindasan pihak yang diketepikan telah dikritik oleh pertubuhan, parti dan individu yang dikatakan kononnya memperjuangkan hak asasi manusia.

Pandangan teras mereka ialah Hindraf tidak patut berjuang berasaskan sifat perkauman, sebaliknya haruslah berjuang berasaskan keperluan. Pendapat seperti ini tidak salah jika dilihat daripada sudut gerakan sosial umum.

Tetapi jika dilihat daripada segi hubungan antara penindasan bangsa dan bangsa yang ditindas, maka kritikan ini seolah-olah menafikan kenyataan bahawa masalah penindasan bangsa masih merupakan masalah asas di Malaysia.

Maka tindakan Hindraf dalam mengemukakan tuntutan disifatkan satu tindakan perkauman adalah tidak benar. Tindakan Hindraf sebenarnya serupa dengan Dong Zong atau Pertubuhan Cina lain yang mengemukakan tuntutan bangsa Tionghua.

Bangsa tertindas 

Hindraf cuma mewakili kaum India di Malaysia untuk mengemukakan tuntutan. Persamaan kedua-dua pihak ini adalah mereka telah menonjolkan keadaan tertindas kedua-dua bangsa dan mengemukakan tuntutan daripada perspektif bangsa mereka.

Tindakan mereka langsung tidak berniat untuk menghakis hak dan maruah bangsa yang lain. Apakah tindakan seperti ini salah? Kenapa mereka dituduh bersifat perkauman? Jika berbincang berdasarkan keperluan, saya berpendapat bahawa masalah-masalah kaum India di Malaysia haruslah dipandang berat oleh mereka yang membantah tindakan berasaskan perkauman seperti Pakatan Rakyat.

Ini adalah kerana jika dibandingkan dengan bangsa lain, golongan miskin India berada dalam keadaan sengsara dan sangat memerlukan bantuan.

Hindraf telah membuat penyelidikan yang banyak dalam aspek masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat kaum India. Mereka telah menghuraikan masalah-masalah ini ke dalam ‘rangka tindakan 5 tahun’ berserta dengan cara penyelesaian. Mereka berharap rangka tindakan ini mendapat sokongan bertulis daripada mana-mana gabungan politik sama ada BN mahupun Pakatan Rakyat.

Hindraf secara terbuka berjanji akan menyokong dan berkempen untuk parti politik yang menyokong dan memperakui secara bertulis rangka tindakan 5 tahun ini. Fokus Hindraf hanya untuk membebaskan bangsa India daripada kesengsaraan melalui saluran parti politik. Sejak rangka tindakan 5 tahun ini dikemukakan pada 25 Disember 2012, banyak usaha telah diusahakan. Sehingga kini Hindraf masih tidak mendapat tindak balas positif daripada kedua-dua kumpulan politik, BN dan Pakatan.

Masyarakat bangsa India telah ditindas secara berterusan oleh hegemoni perkauman Umno-BN. Menurut Waythamoorthy, Hindraf tidak cenderung terhadap Umno ataupun kerajaan BN tetapi mereka hanya boleh menaruh harapan terhadap Pakatan untuk menyokong rangka tindakan 5 tahun.

Saya berpendapat Hindraf tidak rela kaum India ditipu oleh BN selama 55 tahun. Hindraf berharap Pakatan melaksanakan reformasi sebenar. Namun begitu, pemimpin-pemimpin Pakatan masih belum memberi respon yang positif dan ini mengecewakan Hindraf.

Selepas menyertai mogok lapar ini selama 24 jam, saya dapat merasai bahawa kehidupan kaum India telah sampai ke jalan buntu kerana ditindas oleh sistem penindasan yang bersifat perkauman. Tindakan mogok lapar Waythamoorthy adalah respon kaum India terhadap reaksi kedua-dua Pakatan dan BN yang tidak mengendahkan rangka tindakan 5 tahun Hindraf.

Sekiranya Pakatan Rakyat boleh menyatukan kuasa Himpunan Hijau yang diketuai oleh Wong Tack demi kemaraan mereka ke Putrajaya, mengapa tidak Hindraf dan kumpulan-kumpulan yang menentang rejim pemerintahan Umno-BN?

Saya percaya rakyat Malaysia sangat mengharapkan satu barisan penyatuan demokratik yang kuat dapat ditubuhkan secepat mungkin untuk menumbangkan pemerintahan hegemoni UMNO. Jadi, apa kata Pakatan Rakyat?

Tiada ulasan: