Isnin, 25 Mac 2013

Hasan Ali Suka Publisiti, Jangan Samakan Dirinya Dengan PAS


iskandar samad pink 01

SHAH ALAM : Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Ali tidak boleh menyamakan pemimpin PAS Selangor dengan dirinya yang lebih suka mengadakan perbincangan terbuka di luar mesyuarat untuk meraih publisiti.

Sebaliknya menurut Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor, Iskandar A Samad, pemimpin PAS Selangor kerap membincangkan isu berkaitan kepentingan umat Islam di Selangor secara dalaman di mesyuarat-mesyuarat yang diadakan.

“Kebanyakan isu-isu tersebut dibincang secara dalaman samada di dalam mesyuarat Exco atau di dalam mesyuarat di antara PAS Selangor dan Menteri Besar.

“Ia juga dibincang di dalam mesyuarat mingguan Pakatan Rakyat Negeri Selangor,” kata Iskandar dalam satu kenyataan medianya.

Iskandar yang juga merupakan Ahli Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor berkata sebarang isu yang dibincangkan di dalam mesyuarat Exco sudah tentu tidak boleh dibawa oleh mana-mana Exco untuk dibincangkan secara terbuka di luar mesyuarat.

Ini kerana menurutnya lagi, amalan ini adalah selari dengan lafaz sumpah kerahsian yang dilakukan oleh setiap Exco yang sepatutnya difahami oleh Hasan yang pernah menduduki kerusi Exco selama hampir empat tahun.

“Oleh itu, saya menafikan bahawa pimpinan PAS Selangor atau Exco-Exco PAS Selangor gagal membangkitkan atau memperjuangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan Islam.

“Malah mereka membangkitkan isu-isu ini dengan penuh ketegasan (kerana) tidak mungkin pimpinan dan Exco PAS Selangor hanya berdiam diri apabila akar umbi kami sentiasa prihatin dan lantang dalam isu-isu melibatkan umat Islam,” kata beliau lagi.

Semalam, Sinar Harian dalam satu laporan bertajuk ‘Pemimpin PAS Kena Tutup Mulut’, Hasan mendakwa PAS Selangor dan Exco PAS gagal membawa mesej perjuangan parti itu untuk mempertahankan kedudukan Melayu Islam di negeri itu.

Tiada ulasan: