Jumaat, 8 Mac 2013

Gandingan Koo-Tan terima tamparan hebat, Chong Wei berbisa

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei meneruskan aksi cemerlang apabila dengan mudah melangkah ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton All England di National Indoor Arena, Birmingham, England, semalam.

Chong Wei (gambar), yang memburu gelaran hatrik selepas menjuarai pada 2010 dan 2011, dengan mudah mengalahkan bekas juara remaja dunia, Wang Zhengming dari China, 21-17, 21-19, dalam masa 42 minit pada saingan pusingan kedua.

Pada perlawanan suku akhir esok, Chong Wei, 31, akan menentang pemenang perlawanan pusingan kedua antara pilihan kelapan, Nguyen Tien Minh dari Vietnam dengan Verma Sourabh dari India.

Bagaimanapun, beregu emas negara, Koon Kien Keat dan Tan Boon Heong menerima kejutan apabila disingkirkan oleh beregu bukan pilihan dari Thailand Maneepong Jongjit dan Nipitphon Puangpuapech 21-17, 21-18.

Selain itu, beregu Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong mengikuti jejak Chong Wei ke saingan seterusnya apabila mengalahkan beregu Jerman, Ingo Kindervater dan Gerjohannes Schoettler dengan keputusan 21-15, 21-15.

Beregu negara itu bakal menghadapi laluan getir di suku akhir apabila berdepan dengan beregu pilihan kelapan, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan dari Indonesia yang turut mara selepas membenam beregu Taiwan, Lee Sheng Mu/Tsai Chia Hsin dengan keputusan 23-21, 21-16.

Beregu kelab Kuala Lumpur Racquet Club (KLRC), Mohd Zakry Abdul Latif dan Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari turut menempah slot suku akhir apabila mengatasi beregu Indonesia Ricky Karanda Suwardi/Muhammad Ulinnuha dengan 21-19, 21-15.

Dalam acara beregu campuran, dua gandingan negara gagal meneruskan saingan apabila menerima tamparan pada pusingan kedua.

Gandingan nombor tiga dunia, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying dikejutkan oleh pasangan bukan pilihan, Fran Kurniawan/Shendy Puspa Irawati dari Indonesia dengan keputusan 21-15, 21-17.

Satu lagi pasangan negara Ong Jian Guo/Lim Yin Loo turut mengalami nasib sama apabila kalah 14-21, 13-21 kepada pilihan keenam Sudket Prapakamol/Saralee Thoungthongkam dari Thailand.

Wakil tunggal negara dalam acara beregu wanita, Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei akan menentang beregu Korea Selatan dan pilihan keempat Eom Hye Won/Jang Ye pada perlawanan pusingan kedua lewat malam ini.

Malaysia tidak mempunyai wakil dalam acara perseorangan wanita selepas semua pemain gagal melepasi pusingan kelayakan. — Bernama

Tiada ulasan: