Ahad, 24 Mac 2013

7 janji, 7 dosa projek beli undi



Oleh WAN NIK WAN YUSSOF

SABDA Rasulullah s.a.w. bermaksud: ”Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang  boleh membinasakan. Baginda ditanya: Apakah dosa itu wahai Rasulullah? Baginda berkata: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari daripada medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.” (Riwayat Muslim).

Mungkin sumber hadis ini menjadi idea buat Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Razak menghambur fitnah terhadap PAS demi melaksanakan agenda merampas Kelantan.

Lalu diungkaplah kononnya PAS berdosa kepada rakyat. Disebutlah tujuh dosa itu, iaitu PAS pertama tidak mempertahankan kalimah Allah apabila dipersendakan sekutunya DAP, kedua membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam, ketiga gagal menunaikan janji kepada rakyat Kelantan, keempat mengurniakan lebih 4,000 hektar tanah di Kelantan kepada pemimpin DAP membenarkan pemimpin DAP secara rakus menggondolkan hutan di Lojing, kelima (bersyubhat dengan) Tian Chua (Naib Presiden KeADILan terhadap isu di Lahad Datu sedangkan (di sisi Najib) Tian Chua adalah pemimpin keji kerana menghina pasukan keselamatan yang sedang berjuang di Sabah, keenam menipu rakyat apabila berkata tahaluf siyasi Barisan Nasional (BN) tidak betul sedangkan PAS bekerjasama dengan DAP, dan ketujuh mempermainkan matlamat perjuangan PAS sendiri sehingga matlamat manifesto apabila menukar daripada negara Islam kepada negara kebajikan dan hilang hukum hudud.

Sambil mengungkap kata-kata sinis (di SM Tanah Merah 1, 15 Mac 2013) Najib berkata: “Kalau saya dahulu mengumumkan tujuh perkara untuk rakyat Kelantan, kini tujuh dosa besar mereka yang ambo nok sebut hari ini.”

Hakikatnya Najib sendiri sudah lupa, angka tujuh yang disebut itu sebenarnya telah disebut kepada pemimpin dan petugas pilihan raya Umno ketika sambutan ulang tahun ke-66 Umno di Stadium Nasional Bukit Jalil (11 Mei) tahun lalu. Kata-kata Naib ketika itu dipopularkan sebagai tujuh prinsip Umno untuk menang di Kelantan.

Antaranya, Najib dilapor berkata, pertama, antara BN dan pembangkang mana satu kepimpinan yang dipercayai dan janji ditepati? Siapa yang buat segalanya? (dijawapnya Barisan Nasional).

Kedua, kita mesti tentukan esok lebih baik daripada hari ini. Antara BN dan pembangkang siapa yang boleh jamin rakyat Malaysia esok lebih baik dari hari ini.

Ketiga rakyat juga perlu membuat pertimbangan pihak mana yang boleh memelihara keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, kesucian agama Islam dan Raja-Raja Melayu serta hak-hak kaum lain di negara ini.

Keempat, katanya, adalah rakyat perlu memilih siapakah antara BN dan pembangkang yang mampu menguruskan ekonomi dengan baik dan boleh membawa pertumbuhan yang memberangsangkan.

Kelima, siapa yang boleh pelihara keharmonian negara?

Keenam, siapa yang boleh buat perubahan dan pembaharuan secara tersusun? Siapa yang buat transformasi negara?

Akhirnya prinsip ketujuh, rakyat perlu memilih pihak yang benar-benar boleh memelihara kemakmuran negara sehingga Malaysia dapat mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Justeru tidak peliklah untuk Najib terus berretorik dengan anjka tujuh tatkala datang ke Kelantan apabila berbicara soal pelung Umno untuk menang.

Lalu dihamburkan tujuh janji berikut: pertama pembinaan Lebuh Raya Kuala Krai-Kota Bharu, kedua membina masjid terbesar sebagai ikon,  ketiga membina 3,000 unit Program Perumahan Rakyat, keempat membina kampus bandar UiTM untuk 5,000 penuntut, kelima menyediakan sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, keenam membina stadium baru, dan ketujuh menangani masalah bekalan air.

Pengerusi Umno Kelantan, Dato' Seri Mustapa Mohamed berkata tujuh janji itu bakal dimasukkan dalam manifesto BN pada PRU13, menunjukkan Perdana Menteri prihatin akan nasib penduduk Kelantan yang masih ketinggalan pada pelbagai aspek pembangunan. Hujah Mustapa itu sebenarnya cuba menafikan hakikatnya rakyat Kelantan sekian lama dipinggirkan. Hakikatnya orang yang menyekat dan meminggir rakyat Kelantan adalah Mustapa sendiri.

Apa jua janji dan jaminan daripada pemimpin Umno, rakyat Kelantan harus tidak lupa, kerana sebelum ini puluhan janji dan gula sedia ditaburkan. Sekadar mengingatkan janji dan jaminan ketika pilihan raya umum 2008 lalu, pernah Najib (27 Feb 2008) menjanjikan kononnya kerajaan BN sedang merancang pembangunan negeri Cik Siti Wan Kembang sebagai komitmen demi kesejahteraan rakyat. Lalu dipujuknya rakyat agar tidak menganggapnya sesuatu retorik politik sahaja.

Justeru apa peliknya dengan taburan tujuh janji yang cuba dikaitkan dengan tuduhan tujuh dosa dan motivasi tujuh prinsip menang itu. Apakah ia sebenar-benarnya komitmen yang harus diterima rakyat?  Apa yang pasti asas angka tujuh yang dihamburkan tidak lebih daripada politik murahan Najib terhadap rakyat Kelantan.

Kenapa Najib mengamalkan politik murahan dalam konteks Kelantan? Mungkin di sisi Najib, Umno Kelantan sudah tiada maruah diri berikutan status Umno di Kelantan kini sedang berpecah teruk, tiada kekuatan  dan terpaksa bergantung kepada tokoh kitar semula.

Siapa tidak kenal Annuar, Mustapa Mohamed dan Awang Adek memang tidak sekapal yang terpaksa dikitar semula. Mereka bertiga ini pernah mengetuai misi perhubungan Umno merampas Kelantan dan kesemuanya gagal. Kini dikitar lagi dan giliran kedua untuk Mustapa (giliran pertama tahun 2004). Sebelum itu tahun 1999 giliran Annuar dan pada 2008 lalu Awang Adek selaku bakal menteri besar yang telah dikecundang di Dun dan parlimen.

Justeru lihat sejarah siapa dia Najib dalam minda rakyat Kelantan. Ketika berucap di Machang (ketika lawatan di Kelantan) turut menyindir tok-tok imam (27 Februari 2008). Katanya, ‘dia suka mari ke Kelantan kerana tok-tok imam suka peluk dia kerana nak minta projek. Beza dengan tok-tok imam di negeri-negeri lain, mereka tak suka minta projek’.

Malah turut menyindir orang Kelantan supaya jangan berfikiran sempit dalam membangunkan negeri berteraskan Islam, kerana Islam itu luas maknanya ketika mengulas maksud Kelantan Baru, Kelantan Maju semasa berucap di SM Kubang Kerian II.

Najib sendiri telah memberi jaminan (ketika berucap di Kg Telong, Bachok pada 1 Mac 2008) untuk membela penanam tembakau di Kelantan dan menjamin harga daun kering tembakau supaya tidak diturunkan pada harga RM13.80 sehingga tahun 2012. Soalnya, janji tinggal janji, penanam tembakau terus merana dengan hutang baja dan racun. Kini semua syarikat tembakau lingkup kerana sekatan kuota (pengurangan hasil tembakau) antarabangsa.

Demikian pula, Najib adalah penyambung tradisi pentadbiran lembap perdana menteri sebelumnya (Abdullah Ahmad Badawi). Maka cekapkah kerajaan BN di bawah Najib. Lihat sahaja berapa banyak projek yang tertangguh dan lewat siap?

Di Kelantan sahaja (sekadar beberapa contoh) paling utama janji jambatan kedua Sultan Yahya Petra, merentasi sungai Kelantan telah diletak batu asas menjelang pilihan raya umum 2008, tetapi gagal dilaksanakan sampai sekarang. Status projek sekarang dalam kemajuan tetapi masih dilihat terbengkalai. Di dakwa siap dengan kos asal sebanyak RM143 juta tetapi selepas semakan ia ditambah RM7 juta lagi. Kini dilaporkan sudah retak sebelum guna!

Tidak kurang pula ‘projek sakit’ di bawah kerajaan BN dalam tempoh RMK-8 sebanyak 246 buah, termasuk pembinaan sekolah SK Bukit Jawa, Selising bernilai RM12.2 juta telah ‘sakit’ selama empat tahun (disahkan oleh Tan Sri Mohd Sidek Hassan, KSN ketika itu––3  Mac 2008). Apakah bijak dan cekapnya kerajaan BN. Belum lagi dihitung janji yang dihamburkan oleh timbalan Najib, Tan Sri Muhyidin Yassin. Antaranya projek Agropolitan yang dijamin untuk membela 4,000 petani miskin tegar. Ia telah dijanjikan semasa berjumpa dengan petani KADA pada 3 Mac 2008 di Peringat.

Kemudian jika dilihat kepada tokoh lokal Umno Kelantan, misnya Annuar Musa semasa berkempen di Pasar Siti Khadijah Kota Bharu berjanji untuk menghapuskan bayaran kepala bakul dan mengurangkan bayaran parking kereta di Kota Bharu, Dr Nik Zain calon Dun Chempaka yang melawan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menjanjikan kepada rakyat yang tinggal di rumah-rumah yang uzur (buruk) akan diberikan rumah (Sinar Harian, 3 Mac 2008).

Malah lebih hebat lagi akan janji Awang Adek akan melantik seorang Pegawai Khas kalangan pelbagai kaum, di samping untuk selesaikan semua masalah orang bukan Melayu ketika bertemu pengundi Cina di Sek Chung Hwa, Jalan Kelochor Kota Bharu ketika kempen rancak sebagai bakal menteri besar.

Demikian sekelumit imbauan janji pemimpin Umno untuk hidangan rakyat Kelantan yang sudah tentu melebihi tujuh janji oleh Najib sendiri. Kini janji itu dihembur kembali, malah turut diperkemaskan dengan fitnah tujuh dosa dan tujuh prinsip untuk Umno merampas Kelantan.

Tunggulah, banyak lagi politik murahan (baca auta politik) akan dijelmakan oleh pemimpin Umno menjelang hari mengundi. Apa yang penting, rakyat tidaklah mudah tersangkut dengan segala gula dan umpan yang ditabur. Sikap rakyat haruslah tegas untuk menolak habuan yang sementara demi mandat sepenggal pilihan raya. Fikir-fikirlah dengan hati yang tulus demi perubahan mencipta kerajaan yang terbaik pada PRU13 ini.

Tiada ulasan: