Ahad, 10 Mac 2013

35 ahli PAS Jabi sertai Umno hanya 'Umno masuk Umno'

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Setiu menganggap laporan kemasukan ahli PAS ke dalam Umno adalah drama sinetron biasa disiarkan setiap kali menjelang pilihan raya umum (PRU).

Demikian ditegaskan Naib Yang Dipertuanya, Dr Azman Ibrahim (gambar) yang merujuk laporan akhbar hari ini kononnya 35 ahli PAS dari Cawangan Tok Dor dalam Dun Jabi diketuai seorang bernama Ali Bakar menyertai Umno.

“Plot ceritanya sudah basi, dan skripnya sudah hilang daya tarikan. Kesian kepada yang ditipu dan tertipu,” ujarnya yang juga Pengarah MTD Jabli kepada Harakahdaily.

Justeru, beliau hanya memohon mereka mengemukakan dua perkara mudah sahaja sebelum mengulas lebih lanjut.

Yang pertama, katanya mereka perlu menyatakan nombor keahlian PAS, parti sesat yang didakwa oleh Ali Bakar yang telah disertainya selama 20 tahun.

“Yang kedua, beliau ahli PAS cawangan mana lantaran agak pelik masakan di sebuah kampung seperti Tok Dor yang dikategorikan bersaiz kecil, jawatankuasa PAS Cawangan Tok Dor tak mengenali beliau malah tak pernah bersua sebelum ini.

“Hairan bukan?” ujarnya.

Jelasnya, 35 ahli PAS cawangan Tok Dor menyertai Umno bermakna akan terbubarlah cawangan tersebut sedangkan pada malam sebelumnya, beliau menghadiri satu program di UPU Tok Dor yang disifatkan berjaya.

Tambahnya, tiada angin dan ribut pun tentang kemasukan ahli PAS ke dalam Umno.

“Ramlan dan mereka yang menjadi dalang di belakang kerja bodoh ini, sila kemukakan dahulu dua perkara yang diminta tadi.

“Kegagalan bermakna kamu adalah penipu dan pemutar belit fakta yang tak boleh dipercayai,” katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau ini bermakna lebih tepat dinamakan majlis itu sebagai 'Majlis Ahli Umno Masuk Umno'.

Tiada ulasan: