Khamis, 29 November 2012

Zambry 'amat' yakin BN boleh kekal di Perak

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Zambry Abd Kadir
Zambry Abd Kadir
 
KUALA LUMPUR - Perak yakin mampu membentuk semula kerajaan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang akan diadakan tahun depan, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Bercakap dalam satu pertemuan bersama media di ibu negara hari ini sempena Perhimpunan Agung Tahunan Umno, Zambry berkata, beliau sendiri

yang akan mengepalai bala tentera Perak untuk berperang bagi memastikan negeri itu kekal milik Umno-BN.
Zambry berkata, beliau sebelum ini tidak pernah mengatakan yang BN yakin akan membentuk kerajaan pada PRU13.

"Sekarang saya boleh kata bahawa saya sudah yakin penuh yang BN akan membentuk kerajaan (di Perak)," kata beliau dengan nada tenang.

Bagaimanapun beliau tidak mengatakan jumlah kerusi yang boleh dimenangi.

"Itu saya tidak boleh kata... tapi kami boleh menang dengan yakin, dan bentuk kerajaan," kata beliau lagi.
BN tewas beza tiga kerusi pada PRU13. Sinar Harian difahamkan BN boleh memperoleh sehingga 34 kerusi.

Krisis perlembagaan Perak 2009 itu menjadi pertikaian politik yang terus-terusan dijadikan modal pembangkang dengan menggambarkan negeri itu dirampas oleh Umno-BN dengan cara paling tidak demokratik.

Ia bermula apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri dari Pakatan Rakyat melompat parti yang kemudiannya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.

Sebelum krisis perlembagaan tercetus, Pakatan Rakyat pada asalnya mempunyai 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sementara Barisan pula mempunyai 27 Adun.

Tiga Adun Pakatan Rakyat yang bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas manakala seorang lagi (yang sebelumnya telah keluar parti Umno dan menyertai Parti Keadilan Nasional) kembali semula menyertai Umno.

Ditanya sama ada akan bertanding kerusi negeri atau  Parlimen, Zambry berkata, "saya boleh tanding di mana-mana... tapi belum ada keputusan."

Bagaimanapun katanya, beliau boleh mengatakan bahawa akan mengetuai jentera pilihan raya sebagai "seorang jeneral."

Tiada ulasan: