Ahad, 18 November 2012

Ucapan dasar presiden PAS tidak sentuh hudud

Bernama 

 
 
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menyentuh langsung perjuangan parti itu untuk melaksanakan hukum hudud dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan di Kota Bharu semalam.
  
Berucap di hadapan 1,116 orang perwakilan selama kira-kira dua jam, beliau lebih menumpukan kepada persiapan PAS untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) dan penubuhan negara berkebajikan.
  
Turut hadir pada muktamar itu ialah Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Parti Keadilan Rakyat Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Dr Tan Seng Giaw.
  
Ini dilihat tidak selari dengan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib kelmarin, bahawa pakatan pembangkang secara umumnya bersetuju hukum hudud akan dilaksanakan sekiranya pembangkang berjaya membentuk kerajaan selepas PRU13.
  
Harun dilaporkan berkata sekiranya PAS mendapat majoriti dalam Parlimen, undang-undang berkaitan hukum Hudud akan dibentangkan dan sekiranya mendapat sokongan serta diluluskan, ia akan menjadi undang-undang negara.
  
Semalam, Pengerusi DAP Karpal Singh menegaskan kedudukan parti itu mengenai isu Hudud tidak boleh dikaitkan dengan sebarang kompromi dan ia adalah dasar kepada kewujudan parti itu.
  
Sementara itu, semasa berucap di Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu malam tadi, Abdul Hadi juga tidak menyentuh langsung mengenai hukum Hudud.
 
Turut hadir pada majlis itu ialah Nik Abdul Aziz, pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Ketua Pembangkang yang juga Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.- Bernama

Tiada ulasan: