Jumaat, 16 November 2012

Tolak pemerintahan rasis Umno BN – Anwar

Oleh Nazar Hashim

PERMATANG PAUH : Umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak mengamalkan sistem perkauman sempit dan jumud sehingga mengabaikan kepentingan sebenar agama.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkauman adalah sebahagian dari assabiyah yang membawa keruntuhan hubungan sesama Islam jika dijadikan landasan dalam pentadbiran negara.



“Ia tidak akan memberi keadilan dan menyimpang dari hakikat sebenar. Perjuangan adalah untuk suku masing-masing. Manakala suku lain yang turut memerlukan pembelaan tidak akan menikmati keadilan tersebut,” katanya ketika menyampaikan tazkirah Maghrib di Surau Taman Pauh Idaman, dekat sini semalam.

Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, prejudis dan rasis yang melampau telah menjadi sebahagian dari rutin pemimpin negara.

Katanya, jika amalan ini berterusan, ia mampu meruntuhkan hubungan rakyat.

Anwar berkata, sistem pemerintahan sekarang wajar diubah segera bagi menyelamatkan masyarakat menjadi mangsa kerakusan pemimpin berkuasa.



Beliau turut membidas media milik Umno BN yang tidak memberi ruang kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar untuk menjelaskan kedudukan sebenar berhubung kenyataannya berkenaan kebebasan beragama yang diputar belit.

“Kenyataan Nurul Izzah (menjelaskan) dia bersekolah di Assunta. Terdapat salib di sekolahnya ketika itu. Namun beliau tidak pernah terpengaruh dengan agama tersebut.

“Ia tetap dengan agama Islam yang menjadi pegangannya. Beliau juga begitu yakin dengan agama yang dianutinya tanpa menggugat akidah walaupun ia berada di sekolah yang mempunyai salib.

“Kenyataan ini tidak disiarkan oleh media milik Umno BN. Mereka sebaliknya memutar belitkan sebahagian dari kenyataan yang tidak lengkap untuk kepentingan politik sempit yang menjadi amalan,” jelas Anwar.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman; Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abul Malik Kassim dan beberapa pemimpin masyarakat tempatan.

Tiada ulasan: