Khamis, 8 November 2012

Tiga persatuan bola sepak diarah bayar pampasan RM120,00 kepada bekas jurulatih

SINAR HARIAN

FAM
FAM
 
PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan tiga persatuan bola sepak negeri membayar pampasan keseluruhan berjumlah RM120,00 kepada bekas jurulatih mereka yang ditamatkan kontrak lebih awal disebabkan kemerosotan prestasi pasukan.
  
Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) diarah membayar pampasan kepada Mat Zan Mat Aris; Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) kepada Robert Scully dan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) kepada Mohd Nidzam Adha Yusoff.
  
Bayaran yang diterima masing-masing dari jumlah pampasan itu tidak dinyatakan.
  
Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM Datuk Takiyuddin Hassan berkata kesemua persatuan tersebut perlu menjelaskan bayaran pampasan itu dalam tempoh sebulan dari tarikh surat dikeluarkan oleh FAM.
  
"Sekiranya mereka tidak mampu menjelaskan bayaran tersebut, FAM akan memotong jumlah peruntukan tahunan yang diberikan kepada persatuan (bola sepak negeri atau kelab) kerana kita amat menitikberatkan masalah yang dihadapi pemain dan juga pegawai.
  
"Ketiga-tiga persatuan bola sepak tersebut boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FAM sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan itu," katanya kepada pemberita pada sidang media di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Sementara itu, Takiyuddin mengingatkan mana-mana pemain yang masih mempunyai kontrak dan berminat untuk berhijrah ke pasukan lain supaya menjelaskan bayaran pampasan baki kontrak mereka kepada majikan asal.
  
Sebagai contoh, katanya, penyerang pasukan Kelantan Norshahrul Idlan Talaha yang dikatakan berminat menyarung jersi Johor pada musim depan, hendaklah membayar pampasan tersebut kepada majikannya iaitu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
  
"Sekiranya Norshahrul tidak mampu membayar baki kontrak itu kepada Kafa, maka majikan barunya harus membayar jumlah pampasan baki kontrak pemain itu," katanya.
  
Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) Tunku Ismail Idris sebelum ini dilaporkan bertitah bahawa PBNJ bersedia untuk membayar pampasan kontrak Norshahrul yang masih berbaki setahun bagi membolehkan pemain berusia 26 tahun itu beraksi bersama pasukan Johor pada musim depan. - Bernama

Tiada ulasan: