Sabtu, 17 November 2012

Status Mat Yo: PBNJ 'kurang setuju', Kafa lantik peguam

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH

Norshahrul Idlan Talaha (Matyo)
Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (Matyo)

KEMELUT perebutan Pemain Paling Bernilai, Norshahrul Idlan Talaha atau dikenali dengan panggilan Mat Yo gagal menemui titik noktah apabila Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) dikatakan kurang bersetuju dengan nilai pampasan yang dicadangkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Mengumumkan perkara itu menerusi laman Facebooknya malam tadi, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima surat balas daripada Johor yang dihantar Kafa berkaitan perpindahan Mat Yo.

Menurut Annuar, beliau bagaimanapun kebingungan apabila PBNJ seolah-olah enggan membayar nilai perpindahan yang dituntut oleh Kafa, sebaliknya menawarkan nilai yang lebih rendah daripada tawaran surat pertama mereka sebelum ini.

"Surat tawaran telah dibalas oleh PBNJ hari ini, namun kami sedikit binggung apabila dalam surat mereka kurang bersetuju dengan nilai tuntutan yang dicadangkan oleh Kafa.

"Sedangkan mereka menyebut tetap mahukan Mat Yo," kata Annuar.

Tambah Annuar: "Lebih membingungkan kami apabila PBNJ menawarkan nilai yang lebih rendah dari tawaran pertama mereka sebelum ini."

"Bukan setakat itu sahaja, nilai itu juga lebih rendah dari gaji dan elaun Mat Yo untuk baki kontrak 13 bulan yang masih ada.

"Di sini, memang jelas Johor masih belum memahami dan melalui semua ini," kata beliau lagi.

Sebelum ini, Sinar Harian Online melaporkan bahawa Annuar bersetuju untuk melepaskan tonggak utama Harimau Malaya ke Johor menerusi "perpindahan biasa."

Bagaimanapun, perpindahan tersebut bersyarat dan mempunyai terma tertentu yang perlu dipatuhi Johor.
Kafa juga memberikan tempoh seminggu kepada Johor untuk memberi kata putus.

Dalam pada itu, demi melihat kemelut ini selesai secepat yang mungkin, Annuar berkata, pihaknya akan menggunakan khidmat peguam yang lebih arif mengenai undang-undang sukan bagi menyelesaikan isu tersebut.

"Demi mahu melihat isu ini selesai, Kafa akan menyerahkan segala urusan kepada peguam untuk mengambil langkah seterusnya.

"Kami akan memberi mandat kepada mereka untuk berunding menurut saluran undang-undang yang betul," jelas Annuar yang akan memberi kuasa sepenuhnya kepada peguam mereka untuk menghubungi PBNJ selepas ini.

"Peguam Kafa akan diberi kuasa untuk mengambil apa jua tindakan yang wajar kepada Johor asalkan ia masih di bawah peraturan Status dan mengikuti undang-undang kontrak dalam negara kita," jelas Annuar.

Annuar turut mengumumkan bahawa Kafa sudah menemui pengganti yang sesuai sekiranya Mat Yo tiada lagi berada di dalam skuad Kelantan musim depan.

"Alhamdulillah, kita sudah pun mendapat pengganti yang sesuai seadainya Mat Yo tidak lagi bersama Kelantan nanti," ujarnya yang akan mengumumkan senarai lengkap 25 pemain The Red Warriors bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2013 pada 20 November ini.

Tiada ulasan: