Sabtu, 24 November 2012

Saifuddin: AGM Umno perlu hantar mesej jelas pikat pengundi atas pagar

G MANIMARAN

Perhimpunan Agung Umno 2012
Perhimpunan Agung Umno 2012
 
SHAH ALAM - Umno perlu menggunakan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM), yang berlangsung minggu depan untuk menghantar mesej jelas kepada pengundi-pengundi dikategorikan sebagai golongan "atas pagar", kata Datuk Saifuddin Abdullah.

Ahli Majlis Tertinggi ini yang menamakan golongan atas pagar sebagai "golongan pertengahan" bakal memainkan peranan yang penting dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Menurut Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya, mereka (golongan atas pagar), seramai 30 peratus daripada pengundi iaitu peratusan terbesar dalam sejarah PRU.

"Walaupun majoriti 70 peratus yang lain dijangka undi (Barisan Nasional) BN, tapi belum sampai 50 peratus.

"Bermakna golongan ini bakal main peranan yang paling penting iaitu menentukan keputusan PRU13, dari dua segi, jumlah kerusi dan undi popular," kata beliau dalam satu kenyataan SMS, hari ini.

Perhimpunan tahunan Umno akan berlangsung mulai 27 November hingga 1 Disember ini - yang terakhir sebelum PRU13.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, golongan pertengahan masih menerima isu-isu politik yang lazim, "yang saya gelar 'pengharapan pembangunan' seperti prasarana, pendidikan, pekerjaan dan kebajikan."

"Juga pemimpin yang mesra rakyat. Tapi, mereka mula menyoal tentang pelaksanaan. Lalu muncul soal-soal ketelusan, ketirisan dan rasuah.

"Di samping itu, kini mereka menekankan isu-isu baru iaitu 'pengharapan demokrasi' seperti kebebasan bersuara dan media, hak asasi manusia dan minoriti, federalisme, integriti, pengurusan kewangan, keadilan sosial, kelestarian ekonomi, dan alam sekitar, kesaksamaan gender, penghakupayaan mahasiswa/belia, sistem pilihan raya dan inovasi demokrasi.

"Mereka mahu pemimpin yang membawa pemikiran dan budaya politik ke tahap yang lebih tinggi," kata beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, pengharapan golongan pertengahan telah berubah.

"Justeru Umno mesti berubah. Kita ada rekod cemerlang memenuhi pengharapan pembangunan.

"Tetapi  PRU12 tunjukkan yang kita belum menguasai pengharapan demokrasi. Jadi, kita perlu tingkatkan kewibawaan dalam hal ini. Kita perlu lebih komited menjuarai pengharapan demokrasi," katanya sambil menambah bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno, telah melakukannya melalui transformasi politik.

Najib juga Pengerusi BN.

"Namun orang luar anggap Umno belum berubah. Perhimpunan ini pentas terbaik untuk tunjukkan kita benar-benar telah berubah," katanya lagi.

Tiada ulasan: