Isnin, 5 November 2012

PR: Umno mula bimbang jika Hadi tanding di Pekan


JAMILAH HAMZAH

SHAH ALAM - Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) mendakwa reaksi Umno berhubung kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sedia mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan menunjukkan mereka sudah mula bimbang kemungkinan kekalahan Perdana Menteri di kubu kuatnya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, kenyataan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan jelas menggambarkan Umno takut 'kehilangan' Najib di Pekan.

Menurutnya, PR percaya dengan harapan rakyat yang mahukan perubahan kerajaan di peringkat pusat.

"Ahmad perlu matang dan mengetahui sejarah kedudukan Najib pada pilihan raya umum tahun 1999 yang kemenangan beliau hanya 200 lebih undi, dan diselamatkan melalui persempadanan baru pilihan raya umum.

"Jadi kita rasa, Umno takut dengan  Presiden Pas  yang menyampaikan hasratnya untuk bertanding di Pekan baru-baru ini.

"Kita juga percaya kepada kehendak rakyat dan kebijaksanaan rakyat untuk membuat keputusan serta pilihan," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, Ahmad  berkata, pihaknya melihat perkara tersebut sebagai pelik memandangkan Parlimen Pekan bukan kubu kuat Pas, DAP mahupun PKR.

Beliau juga menasihatkan agar Hadi, kini Ahli Parlimen Marang, Terengganu, tidak mengambil tindakan yang boleh 'makan diri' sendiri.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar turut berpendapat bahawa Ahmad memperlihatkan kebimbangan kemungkinan Najib akan kalah.

"Dia sendiri takut Najib kalah," katanya.

Tiada ulasan: