Jumaat, 9 November 2012

Penduduk minta kerajaan siapkan jalan terbengkalai

Khairil Abdul Rahim,


(Tuan Ibrahim menerima memorandum daripada Suhaimi dengan disaksikan penduduk.)

BERA: Penduduk 8 buah kampung di pinggir Sungai Pahang di sini mendesak kerajaan negeri Pahang mengambil tindakan segera agar meneruskan pembinaan jalan baki 15 kilometer yang gagal disiapkan.

Dalam aduannya kepada Konvoi Cakna Rakyat PAS Pahang, wakil penduduk Suhaimi Abdul Manan, 51, berkata jalan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Guai itu amat perlu kepada lebih 5,000 penduduk berulang-alik daripada kampung berkenaan.

“Inilah satu-satunya jalan yang digunakan penduduk untuk mengeluarkan hasil pertanian, pelajar bersekolah dan perhubungan untuk berurusan ke Temerloh dan Maran.

“Pada ketika ini kami terpaksa menggunakan jalan kampung pesisir Sungai Pahang yang sempit, mudah dinaiki air bila musim tengkujuh dan sudah tidak sesuai lagi kerana banyak kenderaan.

“Dengan itu kami mendesak Kerajaan Negeri Pahang mengambil tindakan segera agar meneruskan pembinaan jalan tersebut bagi membuktikan kerajaan benar-benar membela nasib rakyat seperti yang digembar-gemburkan,” katanya.

Menurut Suhaimi yang juga bekas Ketua Kampung Guai, projek jalan pesisir Sungai Pahang sejauh 25 kilometer itu pada asalnya telah dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dengan peruntukan daripada  sebanyak RM48 juta sekitar di penghujung tahun 1980-an.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM22 juta sudah digunakan untuk pembinaan jalan dan membayar tanah-tanah penduduk yang terlibat dengan pengambilan.

Malangnya apabila DAP memenangi Dun berkenaan (Triang) tahun 1990 melalui Leong Ngah Ngah, projek tersebut dihentikan. Apabila LKWJ dibubarkan pada tahun 2000, wang  baki lebihan RM26 juta telah dikembalikan Kerajaan Pahang kepada Kerajaan Pusat dengan pembinaan jalan tersebut gagal disiapkan.

Akibatnya, jalan pesisir sungai itu hanya dari Kampung Tanjung Batu ke Lebak Seberang sepanjang 10 kilometer sahaja yang siap. Manakala kampung-kampung Seberang Jelam, Tok Biah, Seberang Mengkarak, Tanjung Kuran, Lanjut, Selendang, Durian Duduk dan Batu Bor terus terbengkalai.

Sementara itu Tuan Ibrahim dalam responsnya berkata jalan sepanjang 15 kilometer yang terbengkalai itu merugikan semua pihak dan tindakan memulangkan semula wang kepada Kerajaan Pusat satu kesilapan besar.

“Bayangkan, duit dah lulus dan dah dapat tapi dipulangkan semula, kenapa projek tak diteruskan? Sepatutnya jika (LKWJ) bubar sekalipun, salurkanlah kepada agensi pelaksana mana-mana pun”.

“Bila jalan ini dah terbengkalai, sudah tentu hasrat untuk memajukan ekonomi kampung tradisi sepanjang Sungai Pahang terencat. Sayang... permintaan dah lama sangat dah, tiba-tiba terbantut hanya kerana kesilapan pihak kerajaan negeri,” katanya media.

Kerajaan Negeri Pahang sebelum ini pernah dikritik kerana melakukan kesilapan besar apabila tidak membantah pembubaran dua agensi pembangunan Persekutuan, Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dan Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (Dara) pada tahun 2000 kerana pembubaran kedua-duanya mengakibatkan kawasan yang berada di bawahnya selama ini menjadi terabai.

Bukan itu sahaja, pelbagai projek pembangunan sosial dan ekonomi setempat akibatnya kurang diberi perhatian. Lebih menyedihkan, perancangan kemajuan bandar yang dirancang sekitar tahun 1980-an terbantut. Contoh jelas ialah Bandar Jengka yang yang kelihatan tidak terurus dan ceria berbanding semasa kewujudan LKWJ.

“Selain daripada ekonomi, perhubungan dan masalah urusan pentadbiran juga dapat diselesaikan jika jalan ini siap, kerana daerah Bera terpisah oleh sungai. Jadi jika jalan ada, penduduk Bera seberang sini mudah berurusan di pejabat Daerah Bera yang terletak di seberang sana”.

“Begitu juga dengan hubungan kekeluargaan. Saya difahamkan jambatan Guai telah diluluskan kerajaan tetapi dengan ketiadaan jalan pesisir sungai ini sudah tentu sukar. Mesti ada jalan dulu baru jambatan,” jelasnya.

Tiada ulasan: