Jumaat, 16 November 2012

PAS tawarkan memperbaiki ekonomi dalam usaha tarik sokongan pengundi

TERKINI

Abdul Hadi berkata perpaduan dalam negara tidak akan wujud dengan laungan 1Malaysia yang diselang-selikan dengan tiupan perkauman sempit. – Gambar oleh Saw Siow Feng
 
KOTA BARUv – PAS hari ini dilihat memberikan fokus untuk memperbaiki ekonomi dalam meneruskan perjuangan mereka membentuk negara berkebajikan seperti dilaungkan sebelum ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ketika ucapan dasar Muktamar PAS ke-58, hari ini menegaskan hanya ekonomi dan negara berkebajikan yang berkonsep adil untuk semua akan dapat menyatukan hati manusia pelbagai kaum.

“Perpaduan dalam negara tidak akan wujud dengan laungan 1 Malaysia yang diselang-selikan dengan tiupan perkauman sempit dan tindakan yang menekan rakyat berbilang agama dan bangsa yang wujud di negara kita.

“Ramai kalangan lawan dan pemerhati tersalah anggap negara berkebajikan PAS, mengatakan PAS menyeleweng dari matlamat asal.

“Anggapan salah itu adalah kerana mereka tidak memahami bahasa Al-Quran dan terpengaruh dengan bahasa asing ‘welfare state’ yang mentafsir kebajikan sempit,” kata Abdul Hadi sewaktu ucapan dasarnya di hadapan hampir 1,200 perwakilan dari seluruh negara.

Ketika ucapan dasarnya itu juga sewaktu Muktamar Tahunan ke-58 PAS yang bertemakan “Negara Berkebajikan Teras Perpaduan”, Abdul Hadi turut menyentuh berkenaan struktur ekonomi negara yang menurutnya “membarahkan politik menipu dan ekonomi berpusing kekayaan”.

“Hakikat inilah yang kita lihat berlaku di negara kita. Negara yang kaya dengan hasil bumi, akan muflis sekiranya terus berada di tangan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Melaksanakan transformasi ekonomi ala BN untuk setanding dengan negara kaya Barat juga bukanlah ukuran yang rakyat inginkan, nilai ringgit yang ada pula menyusut sehingga duit bertimbun yang dimiliki tidak memberi makna,” tambah Ahli Parlimen Marang itu lagi.

Turut disentuh Abdul Hadi juga adalah berkenaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang menurutnya terdapat banyak kekeliruan dan kecelaruan didalamnya.

Abdul Hadi dalam sidang medianya selepas ucapan dasarnya berkata isu berkaitan hudud tidak lagi berbangkit memandangkan persetujuan telah pun disepakati oleh PR.

“Hudud sudah diluluskan di Kelantan dan Terengganu ... kami sudah adakan dialog sejak 1990 ... isu ini sudah selesai, kami setuju untuk tidak bersetuju.”

Beliau turut menjelaskan dengan jaminan negara berkebajikan tersebut tidak akan membebankan rakyat sebaliknya golongan yang kurang berkemampuan akan ditampung melalui dana yang dikutip daripada mereka yang berada.

“Kita tidak membebankan rakyat dengan cukai, kita akan tampung dengan mereka yang berada,” katanya lagi.

Antara isu lain yang disentuh veteran PAS itu adalah Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang yang mana PAS menurutnya tidak pernah menolak pembangunan.

“Kita tidak menolak projek ekonomi seperti ini, tetapi PAS menolak kezaliman di atas nama pengambil alihan tanah secara tidak adil, pemusnahan ekologi kawasan perikanan, yang seterusnya menjejaskan mata pencarian hidup rakyat sendiri.

“Projek seperti Kilang Penapisan dan Petrokimia di Pengerang, Johor sepatutnya dilaksanakan tanpa melibatkan pemindahan 25,000 penduduk yang menghuni selama puluhan tahun di 10 buah kampung tradisi, melibatkan pemindahan lebih dari 10 buah sekolah, masjid dan sebagainya,” katanya.

Tiada ulasan: