Rabu, 7 November 2012

PAS Sarawak cadang Presiden tanding di Miri

Harakahdaily,
MIRI: PAS Sarawak menyambut baik kesediaan Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk bertanding di mana-mana yang parti fikirkan wajar termasuk di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Pesuruhanjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee berkata, kesediaan itu wajar diberi perhatian oleh pemimpin Pakatan Rakyat.

"Kita juga sangat tertarik dengan hasrat beliau untuk bertanding di Sarawak, sekiranya parti yang mengarahkan beliau melakukannya.

"Kalau beliau diberi kesempatan untuk bertanding di Sarawak, kita cadang beliau bertanding di parlimen Miri kerana Miri adalah kawasan yang majoritinya Cina dan bukan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tuan Guru Abdul Hadi pada sidang media semalam bahawa beliau sedia diletakkan bertanding di mana-mana termasuk Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini beliau juga pernah menyatakan kesediaan untuk bertanding di Pekan, Pahang iaitu tempat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, Jofri yang juga Yang DiPertua PAS Miri berkata, kesediaan Tuan Guru Presiden itu mempamerkan keberanian seorang pemimpin menghadapi risiko walaupun semua tahu kawasan yang beliau hendak bertanding adalah tempat yang sukar untuk Pakatan menang.

"Beliau tidak hanya memilih tempat yang selamat seperti yang biasa pemimpin BN lakukan.

"Tiada yang mustahil untuk beliau memenangi atau menumbangkan pihak lawan sekiranya rakyat di tempat tersebut dapat menerima beliau sebagai penganti pemimpin utama negara," katanya.

Tiada ulasan: