Selasa, 6 November 2012

Pas digesa beri pendirian

Wartawan Sinar Harian

Datuk Dr Hasan Mohamed Ali
Datuk Dr Hasan Mohamed Ali
 
SHAH ALAM - Pas digesa membuat pendirian berhubung kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bahawa rakyat Malaysia termasuk orang Melayu didakwa tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu.

Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, kenyataan tersebut mempunyai implikasi yang sangat besar kepada generasi kini dan generasi yang akan datang.

Menurutnya, mungkin kenyataan yang keluar dari mulut Nurul Izzah secara amnya kepada sesetengah pihak tidak dianggap serius.

Namun beliau menegaskan, jika dilihat dari sudut aqidah, syariah dan akhlak yang menjadi asas kehebatan Islam, kenyataan sedemikian ternyata bertentangan dengan ajaran sebenar agama Islam.

"Kita ingin melihat pimpinan tertinggi Pas terutamanya golongan parasit tampil menyatakan pendirian mereka berhubung dengan kenyataan Nurul Izzah itu.

"Apakah mereka akan terus membisu dan rela membiarkan gejala kekusutan aqidah terus menular?," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Nurul Izzah membuat kenyataan itu ketika menjadi ahli panel forum Islamic State: Which Version; Who’s Responsibility? anjuran Gereja Full Gospel Tabernacle di Subang.

Pandangan ini didakwa merujuk kepada peruntukan dalam al-Quran tidak ada paksaan dalam agama Islam.

Tiada ulasan: