Rabu, 7 November 2012

Nurul Izzah dihukum sebelum beri penjelasan

Hazayani Zakaria,


KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) kesal dengan tindakan pihak tertentu menghukum Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebelum mendapatkan penjelasan beliau.

Timbalan DMPP, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, pihak yang membuat tuduhan kononnya Izzah menyokong Melayu murtad khususnya pimpinan Umno tidak memahami konteks dan maksud sebenar kenyataan Izzah dalam forum ‘Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab?, Sabtu lalu.

"Adalah suatu yang tidak masuk akal menuduh seorang muslimah mukminah, yang solat, yang puasa, yang tutup aurat mengajak orang Melayu meninggalkan Islam dan menyokong orang Melayu murtad. kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Kota Raja itu juga berkata, selepas mendengar penjelasan dari Izzah dan Ahli ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusof Rawa yang juga ahli panel forum tersebut, mereka yakin kenyataan Izzah itu diputar belit akhbar Utusan Malaysia.

"abnyak andaian dan tanggapan dibuat oleh pelbagai pihak sebagai memanjangkan isu walaupun mereka tidak hadir dan mendengar sendiri.

"Mereka membuat komen hanya berdasarkan laporan Utusan Malaysia kebanyakannya," katanya.

Jelas beliau juga, Izzah mengatakan dan membuat kaveat dalam kenyataannya yang "sekiranya seseorang itu telah memeluk Islam maka dia tertakluk dengan syariat Islam".

"Nurul Izzah tidak sesekali mengeluarkan kenyataan yang bermaksud orang Melayu bebas memilih agama, mengajak orang Melayu keluar Islam dan menyokong orang yang murtad," katanya.

Turut bersama pada sidang media ialah Ketua DMPP, Siti Zailah Mohd Yusof yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang dan ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad yang juga ahli Parlimen Kuala Selangor.

Tiada ulasan: