Rabu, 14 November 2012

Muktamar: Pas Kedah tonjol model tadbiran Islam

NURUL FATIHAH SULAINI

logo muktamar
.
Muhammad Sanusi Md Noor
Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor
 
ALOR SETAR - Pas Kedah akan menonjolkan model pentadbiran Islam dalam masyarakat majmuk pada Muktamar Pas Pusat kali-58 yang berlangsung di Kelantan minggu ini.

Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor berkata, mereka akan menggunakan sepenuhnya peluang pentas muktamar untuk mengetengahkan pencapaian serta kejayaan Pas dalam menerajui sepenggal kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Kedah.

Menurutnya, usaha berkenaan bagi membolehkan segala maklumat berkenaan pencapaian itu sampai sepenuhnya kepada pengetahuan Pas Pusat serta Pas negeri lain.

Pas mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah sejak Mac 2008.

“Walaupun kita menghadapi cabaran dalam mentadbir kerajaan, namun tidak besar hanya sedikit cabaran sahaja,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berhubung perwakilan Pas bebas membentangkan sebarang usul walaupun pada tahap mengkritik pemimpin sendiri, Sanusi turut menyambut baik usaha itu.

Menurutnya, bagaimanapun isu yang lebih penting untuk diketengahkan perlu menyentuh usaha untuk mengukuhkan pendirian Pas dari dalam terutamanya menghadapi situasi negara yang semakin mencabar.

“Muktamar kali ini juga dilihat sebagai medan untuk pembahas mempersiapkan isu menjurus kepada usaha Pas menerajui Kerajaan Persekutuan termasuk mengukuhkan Pas dalam komponen PR.

“Perwakilan tidak boleh menjadikan pentas muktamar sebagai tempat melepaskan geram semata-mata tetapi untuk kemajuan Pas,” katanya.

Sanusi yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah berkata, muktamar berkenaan turut membantu mempersiapkan Perwakilan Pemuda Pas yang boleh menyediakan pelbagai jawapan untuk berhadapan dengan pertanyaan pengundi baru tentang pelbagai isu politik.

“Golongan pengundi muda sekarang memerlukan jawapan kukuh serta pantas bagi menjawab tohmahan serta pertanyaan isu yang sering diputarbelit  oleh pihak mempunyai kepentingan tertentu,” katanya.

Menurutnya, mereka juga akan memfokuskan isu yang dapat mendekati kelompok pengundi muda yang pertama kali mengundi melalui media baru termasuk jaringan laman sosial serta blog.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat Pas Kedah, Datuk Siti Ashah Ghazali berkata, antara isu yang akan disentuh oleh perwakilan mereka turut memfokuskan isu pendidikan dan ekonomi termasuk isu lain.

“Bagaimanapun maklumat secara terperinci kita belum terima kerana Dewan Muslimat Pas Kawasan menghantar terus usul berkenaan kepada Muslimat Pas Pusat,” katanya.

Tiada ulasan: