Isnin, 5 November 2012

Muhyiddin: Peperiksaan SPM tidak terjejas akibat banjir

SINAR HARIAN

Muhyiddin: Peperiksaan SPM tidak terjejas akibat banjir
Kelihatan seorang pelajar sedang meniliti kertas soalan Bahasa Melayu 1 pada peperiksaan SPM, ketika tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di Jelapang. - Foto Bernama
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan telah membuat persedian rapi sejak awal untuk memastikan perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini tidak terjejas akibat banjir, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata sekolah-sekolah yang berkemungkinan dilanda banjir tidak perlu risau kerana perancangan kontigensi untuk semua pelajar dan guru sudah dirangka dan disediakan.
 
Katanya Kementerian Pelajaran dan beberapa agensi terlibat telah mengenal pasti kawasan yang selamat untuk membolehkan semua pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dapat meneruskan peperiksaan mereka sekiranya banjir berlaku.
 
“Semua agensi yang bertanggungjawab seperti polis, bomba dan RELA juga sudah bersiap sedia di kawasan berkemungkinan dilanda banjir,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Forum Inovasi Dunia Kuala Lumpur 2012 (WIF-KL2012) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
 
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas tentang persediaan menghadapi banjir dan kejadian banjir di Johor, Melaka, sekitar Dengkil Selangor dan Perak berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata bekalan makanan juga sudah tersedia oleh Jabatan Kebajikan Malaysia dan kawasan yang kini terjejas, sudah mula disalurkan bantuan seperti makanan dan kelengkapan.
 
Beliau juga menasihatkan penduduk di kawasan tanah rendah supaya mengikut arahan pihak berkuasa dan berpindah ke tempat selamat jika diarahkan agar kejadian mengancam keselamatan nyawa dapat dielakkan.
 
“Kita (kerajaan) sentiasa bersedia, cuma kita tidak boleh jangka keadaan macam mana, jadi kita kena bersedia lebih daripada biasa,” katanya.
 
Mengulas penundaan tarikh keluar keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Muhyiddin berkata beliau belum menerima laporan terakhir.
 
“Apapun, tiada masalah kerana laporan telah disediakan, keputusan sudah dicapai dan saya akan umumkan keputusan itu. Jadi, para pelajar yang mengambil peperiksaan itu menunggu saya. Saya rasa ini bukan satu isu atau masalah yang besar,” katanya.
 
Tarikh pengumuman keputusan UPSR ialah Khamis ini.  - Bernama

Tiada ulasan: