Jumaat, 9 November 2012

Muhyiddin: Calon BN di peringkat akhir saringan

SINAR HARIAN

Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin 
 
KOTA BHARU - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pucuk pimpinan parti kini dalam peringkat akhir bagi menempatkan calon-calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Perdana Menteri berkata, pucuk pimpinan kini sedang meneliti input yang diberikan bahagian-bahagian serta maklumat dari sumber-sumber lain.

Sehubungan itu, beliau mahu semua jentera parti bersiap siaga sepenuhnya dalam semua aspek bagi menghadapi pilihan raya umum itu nanti, katanya ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan di sini, hari ini.

"Kita akan menghadapi pilihan raya bila-bila masa saja, mungkin berhari-hari lagi, atau berminggu-minggu sahaja lagi," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata semua pihak di semua peringkat perlu menerima sepenuhnya calon yang akan diputuskan pucuk pimpinan parti itu nanti.

Muhyiddin berkata, apa yang penting, semua pihak terutamanya jentera pilihan raya dan kepimpinan di peringkat akar umbi bekerja keras dalam usaha mempertahankan kepimpinan kerajaan BN.

Beliau berkata, semua pihak perlu mengenepikan segala perselisihan sekiranya ada, kerana BN akan menghadapi "musuh besar" pada pilihan raya umum itu nanti.

Timbalan Perdana Menteri, berkata jentera parti juga perlu memfokuskan kepada pengundi muda kerana mereka yang pertama kali mengundi ini kurang maklumat sejarah pengorbanan BN kepada negara.

Beliau berkata, rakyat terutama generasi muda perlu diperjelaskan apa yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan BN selama ini dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara aman dan makmur.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat bersama BN Kelantan di sini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri

Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan. - Bernama

Tiada ulasan: