Khamis, 15 November 2012

MCA dan GERAKAN ditolak masyarakat Cina?

Oleh Syed Imran


Pilihan Raya Umum ke-13 sudah hampir tiba dan semua parti politik dah pun bersiap siaga untuk bertarung dalam gelanggang rakyat. Macam-macam muslihat dan propaganda oleh semua pihak yang berminat sudah dan terus menghiasi dada-dada akhbar dan saluran media elektronik ataupun media baru. 


Barisan Nasional (BN) yang berkuasa diperingkat Persekutuan dan sembilan  buah negeri pasti akan sedaya upaya dan dengan apa jua cara akan cuba mempertahan dan jika boleh menawan semula empat buah negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat (PR). 


 Di Semenanjung, BN bukan sahaja bergantung kepada UMNO tetapi kepada tiga rakan politiknya iaitu MCA, Gerakan dan MIC. UMNO amat mengharapkan rakan-rakan politiknya itu membantu calon BN di kawasan-kawasan undi dalam bandar ataupun yang mempunyai sejumlah besar pengundi bukan Melayu. 
 Walaupun UMNO sendiri tidak terjamin untuk memenangi semua kawasan undi majoriti Melayu, ia amat memerlukan kemenangan calon-calon MCA, Gerakan dan MIC untuk terus berkuasa.

 Mampukah MCA, Gerakan dan MIC membantu BN berkuasa semula? Persoalan ini yang perlu dicari jawabannya oleh pucuk kepimpinan UMNO kerana hidup-mati atau masa depan mereka bergantung kepada sama ada pengundi bukan Melayu, khasnya Cina, akan terus menyokong BN.

 Saya sempat bertanya mengenai persoalan ini kepada beberapa orang sahabat dari masyarakat Cina dan hampir semua berkata majoriti pengundi Cina akan menolak MCA dan Gerakan. Mereka akan memberi sokongan kepada DAP dan parti-parti sekutunya termasuk PAS.

 Jika betul apa yang dikatakan itu, maka harapan BN untuk menang besar ataupun menawan semula negeri-negeri yang ditadbir oleh PR termasuk mempertahankan Perak yang diperolehi melalui saluran istana/mahkamah, amat tipis.

 Bahkan ada pihak, termasuk dari luar negara seperti Singapura, yang meramalkan PR akan menawan Negeri Sembilan selain memberi tentangan hebat kepada BN di peringkat Persekutuan.

 Sabah dan Sarawak bukan lagi 'simpanan tetap' BN dan walaupun BN mampu berkuasa semula di kedua-dua negeri itu,  ia akan mengalami kekalahan beberapa kerusi Dewan Rakyat.

 Yang pasti, pihak mana  akan memenangi pilihan raya akan datang ini akan ditentukan oleh penggundi bukan Melayu dan peranan mereka tidak boleh diperkecilkan sama sekali. Undi Melayu sudahpun berpecah-belah manakala undi bukan Melayu semakin kukuh untuk PR.

 PM Najib Razak mungkin disukai ramai tetapi ia tidak memberi jaminan bahawa rakyat akan menyokong BN. Seperti yang dinyatakan oleh salah seorang pengundi Cina yang saya temui, kerajaan bagi wang kami terima, undi lain cerita.http://kudaranggi.blogspot.com

Tiada ulasan: