Sabtu, 17 November 2012

Majlis Syura: 'Pas adalah Pas dahulu, perjuangan tidak lari'

AHMAD NORMAN ABU TALIB

KOTA BHARU – Di sebalik kritikan pihak-pihak tertentu yang mendakwa Pas kini terpesong daripada konsep perjuangan asalnya, Majlis Syura Ulama tampil membuat kenyataan untuk ‘mendiamkan mulut-mulut orang itu daripada bercakap’ dengan menekankan bahawa hala tuju parti itu masih sama seperti dahulu.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din berkata, Majlis Syura Ulama telah bersidang bagi memikirkan jalan terbaik itu mendiamkan mereka daripada terus mengkritik dasar perjuangan parti itu.

"Isu itu dimainkan oleh bukan calang-calang orang dan atas dasar itulah Majlis Syura Ulama bersidang memikirkan jalan terbaik untuk mendiamkan mulut-mulut orang ini daripada bercakap dan mengurangkan tekanan akhbar kepada kita," katanya semasa penggulungan ucapan dasar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di sini, hari ini.

Terdahulu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, majlis itu menjelaskan bahawa Pas masih tetap berjuang berlandaskan apa yang tercatat dalam perlembagaannya.

“Pas hari ini adalah Pas dahulu, perjuangan tidak lari daripada perjuangan asal.

“Arah tujunya tetap sama masih utuh dan masih atas perjuangan asalnya tanpa sedikit pun menyeleweng daripada apa yang terkandung di dalam perlembagaannyaa,” katanya.

Majlis itu mengadakan mesyuarat kelmarin bagi membincangkan isu tersebut bagi meneliti sama ada Pas telah terpesong atau pun tidak daripada matlamatnya.

Ia diteliti dengan cermat dengan mengambil kira ucapan dasar Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di dalam dua kali muktamar iaitu tahun lalu dan kali ini yang kedua-duanya bertemakan ‘Negara Berkebajikan’.

“Majlis Syura Ulama membahaskan semula apakah ‘Negara Berkebajikan’ itu sesuatu baru dan berlawanan dengan ‘Negara Islam’ yang diperjuangkan Pas selama ini atau pun ianya sama.

“Demikian juga dengan tahaluf siyasi yang diputuskan dan dilaksanakan oleh Pas, apakah ianya masih relevan dan selaras dengan perjuangan Pas atau tidak, di samping mengambil kira komen-komen dari dalam dan luar mengenai arah tujunya,” katanya.

Majlis tersebut menyeru semua ahli dan penyokongnya supaya tidak mempedulikan fitnah-fitnah dilontarkan oleh musuh kononnya Pas terpesong daripada perjuangan asalnya.

Tiada ulasan: