Isnin, 19 November 2012

Liga Arab hantar delegasi runding gencatan senjata

Terjemahan Mohamad Yahya,

Ketua Liga Arab, Nabil Elaraby telah berikrar untuk menyokong rakyat Palestin menentang "pencerobohan Israel" dan untuk menamatkan sekatan Gaza semasa rundingan antara menteri luar Arab di Kaherah.

 Para pemimpin berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Sabtu lalu bahawa ketua Liga Arab akan mengetuai delegasi ke Semenanjung Gaza pada hari Ahad dan menyokong usaha Mesir untuk berunding berkenaan gencatan senjata.

Agensi Berita Maan melaporkan delegasi yang diketuai oleh Elaraby akan disertai Riyad Al-Malki, Menteri Luar Palestin, dan empat menteri luar lain. Hamas tidak lagi mengesahkan penyertaan dalam lawatan tersebut.

Mesyuarat Sabtu lalu telah diadakan selepas Israel melancarkan serangan udara besar-besaran bermula Rabu lalu kononnya bertujuan menghalang Hamas, kumpulan Palestin yang mengawal Gaza, daripada melancarkan roket salvo merentas sempadan.

Pesawat Israel mengebom bangunan kerajaan Hamas Sabtu lalu di wilayah Palestin, selepas kabinet Israel memberi kebenaran mobilisasi sehingga kepada 75,000 pasukan simpanan, bersedia untuk pencerobohan darat.

Mesir telah menaja gencatan senjata tidak rasmi Oktober lalu, yang kini gagal. Mesir berkata mereka sedang mengusahakan satu perjanjian baru.

Presiden Mesir Mohamed Morsi berkata Sabtu lalu terdapat "beberapa petunjuk" gencatan senjata boleh dicapai tidak lama lagi antara Israel dan Gaza Palestin tetapi dia tidak dapat memberi jaminan yang pasti. - (aljazeera.com)

Tiada ulasan: