Khamis, 1 November 2012

Laluan Zahid tidak selesa sebenarnya

Shahbudin Husin

 

Minggu lalu saya menulis mengenai Zahid Hamidi yang dianggap oleh banyak pihak mempunyai peluang paling terbuka untuk meningkat naik dalam hireaki UMNO selepas pilihanraya umum akan datang ini.

Beliau yang kini menjadi Naib Presiden UMNO dan Menteri Pertahanan, mungkin akan bergandingan dengan Muhyiddin untuk bertanding jawatan nombor dua dalam UMNO sekiranya BN hanya mampu mencapai keputusan kurang daripada 140 kerusi Parlimen dalam PRU 13 ini. 

Muhyiddin yang mungkin mencabar atau dipaksa mengambil alih teraju UMNO daripada Najib, dirasakan amat sesuai bergandingan dengan Zahid untuk memulihkan semula kekuatan parti.

Sekiranya BN mencapai kemenangan selesa pula, tidak mustahil juga Zahid akan diasak untuk mencabar kedudukan Muhyiddin di kerusi nombor dua berikutan Zahid dilihat mempunyai rangkaiann pengaruh yang luas dalam UMNO selain PRnya yang boleh menambat hati sesiapa saja yang berpeluang bertemu dengannya. Harus diakui dari segi hubungan dengan ahli dan perwakilan UMNO, Zahid bila-bila masa boleh menewaskan Muhyiddin.

Ataupun jika keputusan terlalu buruk dialami oleh UMNO yang mungkin memaksa Najib dan Muhyiddin mengundurkan diri sekaligus, Zahid juga dilihat paing berpotensi untuk menerajui UMNO berbanding pesaingnya sekarang iaitu Hishammuddin Tun Hussein dan Shafie Afdal.

Ekoran tulisan itu, saya menerima pelbagai pandangan daripada rakan-rakan dalam UMNO sendiri mengenai perkara itu. Ada yang bersetuju dan ada pula yang kurang bersetuju.

Dalam konteks kedudukan Zahid, ramai pemimpin UMNO yang bersetuju bahawa Zahid mempunyai potensi yang lebih baik jika beliau mahu bertanding merebut jawatan nombor dua dalam UMNO. 

Sama ada beliau akan berhadapan dengan Muhyiddin atau bersaing dengan Hishammuddin bagi merebut jawatan itu, laluan Zahid tetap lebih baik.

Dengan imej bersih, perwatakan menarik, PR serta komunikasi dengan ahli UMNO yang cemerlang selain mempunyai rangkaian Grup Sahabat yang luas, Zahid dilihat boleh memenangi apa saja jawatan yang mahu ditandinginya. 

 Lihat saja bagaimana beliau memenangi kedudukan undi tertinggi dalam perebutan Naib Presiden UMNO pada 2009 lalu serta bagaimana kemenangan bergaya dicapainya sebagai Ketua Pemuda UMNO pada 1996 dahulu meskipun pesaingnya ketika ada yang berjawatan menteri dan menteri besar.

Namun beberapa pemimpin peringkat pertengahan dan akar umbi UMNO melihat Zahid juga mempunyai kekurangan yang ketara iaitu keupayaannnya yang kurang menyerlah sebagai menteri berbanding kemilau yang dimilikinya sebagai pemimpin UMNO.

Lebih-lebih lagi sebagai Menteri Pertahanan, peranan Zahid dianggap oleh banyak pihak langsung tidak menyerlah. Beliau gagal membawa idea-idea baru yang besar serta menampilkan dirinya sebagai seorang Menteri Pertahanan yang dinamik dan berwibawa.

Kalau ada pun idea baru yang dilakukan Zahid hanyalah mengembangkan Askar Wataniah ke peringkat semua kawasan Parlimen tetapi itu tidak cukup untuk menonjolkan dirinya sebagai Menteri Pertahanan yang berwibawa. Lebih dari itu, idea barunya hanpir tidak ada.

Dalam konteks LIMA yang diadakan dua tahun sekali di Langkawi pula, beberapa pihak juga melihat bahawa Zahid gagal memanfaatkan sepenuhnya program dwi tahunan yang diilhamkan oleh Tun Mahathir itu untuk melonjakkan lagi namanya di mata rakyat.

Pameran LIMA di bawah Zahid hanya dilihat sebagai pameran pertahanan laut dan udara yang biasa-biasa saja. Tiada idea baru atau perkara yang agak menonjol dapat diketengahkannya.

Seorang pemimpin UMNO bahagian berkata, kejayaan Zahid dalam LIMA hanyalah kejayaannya membawa ramai pemimpin dan mereka yang pernah yang menjadi perwakilan UMNO ke pameran di Langkawi dengan menggunakan kemudahan pesawat udara TUDM.

Berbanding Hishammuddin yang semakin dipertikaikan oleh banyak pihak sama ada dalam UMNO atau rakyat biasa, terutamanya sejak menjadi Menteri Dalam Negeri sehingga dianggap Menteri Dalam Negeri paling lemah dalam sejarah Malaysia, ramai pula yang berpandangan bahawa Shafie Afdal lebih menyerlah serta fokus dalam tugasnya sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar berbanding Zahid.

Cumanya masalah Shafie Afdal ialah beliau berasal dari Sabah yang mungkin menghadkan peluangnya untuk mendaki tangga dalam hireaki UMNO berbanding pemimpin yang berasal daripada Semenanjung.

Kesimpulannya, di sebalik bercahayanya bintang Zahid dalam UMNO dan disukai oleh ramai ahli, pemimpin serta perwakilan UMNO itu sendiri, keupayaannya yang terhad sebagai Menteri Pertahanan dan pemimpin yang bermanfaat kepada seluruh rakyat, mungkin juga menipiskan peluangnya untuk mendaki tangga yang lebih tinggi.

Ini kerana berbanding kejayaan memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO dan Naib Presiden dengan undi tertinggi sebelum ini, penilaian perwakilan UMNO mungkin berbeza dalam konteks jawatan yang lebih tinggi yang ingin ditandinginya.

Jika seseorang itu ingin merebut jawatan yang lebih tinggi seperti jawatan nombor dua misalnya, keupayaan sebagai pentadbir dan pemimpin kerajaan akan menjadi penilaian utama kerana selepas menang sudah tentu perlu memegang jawatan yang lebih tinggi atau penting dalam kerajaan.

Faktor inilah yang mungkin menghalang kemaraan Zahid nanti, kata pemimpin UMNO bahagian itu lagi.

Tiada ulasan: