Selasa, 6 November 2012

Jais mungkin panggil Nurul Izzah

NURULFATIHA MUAH

Marzuki Hussin
 
 
SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mungkin akan dipanggil Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk membantu siasatan berhubung kenyataannya bahawa rakyat tidak harus dipaksa mengamalkan ajaran tertentu termasuk kepada orang Melayu.

Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin berkata, tindakan itu hanya boleh diambil sekiranya pihaknya menerima maklumat berhubung perkara tersebut.

“(Kenyataan itu) serupa juga dengan kenyataan semua agama adalah sama. Ia salah, mana boleh semua agama sama. Islam lain, Tuhan sudah kata Islam adalah sebaik-baik agama.

“Kalau ada rakaman itu minta dipanjangkan kepada kita. Tak semestinya ada laporan, maklumat (sudah) cukup, kita boleh bertindak. (Setakat ini), kita tak dengar maklumat itu lagi,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai yang didakwa membuat kenyataan itu sebagai menjawab soalan peserta sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama sama seperti orang bukan Melayu dalam satu forum di Subang Jaya, Sabtu lalu.

Semalam, media melaporkan, Nurul Izzah dipetik sebagai berkata: “Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama… mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan agama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata."

Bagaimanapun, beliau dilaporkan tidak menyatakan orang Melayu sepatutnya diberikan hak dari segi undang-undang berkaitan kebebasan beragama.

Tiada ulasan: