Sabtu, 17 November 2012

Hudud: Bukan Muslim lebih terbuka banding ilmuan Islam

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

logo muktamar
.
PENGKALAN CHEPA - Seorang perwakilan Muktamar Tahunan Pas ke-58 hari ini mengibaratkan usaha memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud oleh parti itu umpama "demam panas."

Menurut perwakilan dari Wilayah Persekutuan, Al-Zahri Arip, beliau kesal apabila masyarakat bukan Islam di negara ini lebih terbuka kepada hukum hudud berbanding ilmuan Islam yang bersikap dingin terhadap undang-undang Islam itu.

"Hukum hudud ini boleh diibaratkan seperti demam panas, sekejap sejuk, sekejap dingin.

"Apatah lagi ia dipolemikkan, sama ada dipolemikkan oleh rakan kita, DAP yang dikhususkan oleh Karpal Singh atau pun dipolemikkan oleh ilmuan-ilmuan Islam yang saya senaraikan di sini jika sekiranya segelintir kecil di antara merea yang mempertikaikan hukum hudud, saya tidak peduli.

"Dari sudut hukumnya, mereka tidak ada kelayakan," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan Pas ke-58 di sini, hari ini.

Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) sebelum ini menerusi kaji selidik yang dilakukan mendapati masyarakat Cina di negara ini sudah boleh menerima hukum hudud.

Kajian yang dilakukan antara 1 September hingga 16 September lalu menunjukkan peningkatan sekali ganda sokongan masyarakat Cina iaitu kepada 24 peratus berbanding 12 peratus dalam kaji selidik sebelum ini pada 25 Oktober hingga 15 Disember tahun lalu.

Daripada sejumlah 385 responden berbangsa Cina, hanya satu peratus peningkatan menentang pelaksanaan hukum hudud, berbanding kaji selidik sebelumnya, iaitu sejumlah 51 peratus.

Sementara kumpulan yang tidak pasti sama ada hudud boleh dilaksanakan di Malaysia walaupun mempunyai masyarakat berbilang kaum menurun kepada 25 peratus berbanding 38 peratus dalam kaji selidik sebelum ini.
Zahri kemudian membidas sikap segelintir ilmuan Islam yang sepatutnya berjuang untuk menegakkan syiar Islam sebaliknya menyambut hambar dasar perundangan Islam.

"Kita agak sedih apabila isu hudud ini dibahas dengan nada yang sangat negatif oleh mereka yang bergelar ilmuan Islam.

"Ada di antara ilmuan Islam yang menyandang jawatan di universiti yang mempengaruhi pelajar-pelajar mereka, ada yang mengatakan bahawa pelaksanaan syariat Islam, hukum hudud... yang dilaksanakan oleh Pas ini adalah sesuatu yang isti'jal (tergesa-gesa) rupanya," ujarnya.

Beliau kemudian menegur sikap sesetengah pimpinan Pas yang sering mengeluarkan kenyataan bercanggah dan mendahului presiden dalam isu hudud sambil merujuk kepada nasib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan bekas jurulatih Terengganu, Peter Butler.

"Kenapa nun di sana ada pimpinan-pimpinan lain yang bercakap bahawa hudud bukan agenda Pakatan Rakyat, contoh, pelaksanaan hudud ditangguh kerana rakyat tidak faham, contoh, keutamaan kita ke Putrajaya, bukan hudud.

"Apakah kita juga hendak mengambil tindakan seperti Persatuan Bola Sepak... lu pikir la sendiri," katanya disambut riuh rendah para perwakilan.

Tiada ulasan: