Khamis, 15 November 2012

Harun: Pertahan ijtihad tahalul siyasi

KL TODAY

 

Para ulama di dalam PAS diseru agar mempertahankan ijtihad Tahaaluf Siyasi (persefahaman politik) termasuk mengarahkan semua ahlinya mengundi calon-calon bukan Islam di kalangan Pakatan Rakyat.Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, untuk mencapai matlamat politik Islam, ulamak berijtihad dalam menentukan wasilahnya.

”Antaranya, Ulamak dalam PAS berijtihad dengan merujuk kepada al-Qur’an dan al-Hadis membenarkan  Tahaaluf  Siyasi dengan parti-parti lain dengan syarat-syaratnya sebagai satu wasilah mencapai kemenangan dalam pilihanraya.

“Rentetan daripada ijtihad Tahaaluf Siyasi, ahli-ahli PAS diarahkan mengundi calon-calon pilihanraya bukan Islam di kalangan Pakatan Rakyat,” katanya.

Untuk itu, katanya, ulamak perlu menjelaskan perkara ini kepada ahli-ahli parti dengan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan al-Hadis.

Dalam masa yang sama juga Ulamak perlu sentiasa prihatin dengan syarat-syarat Tahaaluf Siyasi yang telah digariskan.

“Sekiranya berlaku sebarang pelanggaran kepada syarat-syarat tersebut, Ulamak perlu segera menegur kepimpinan parti dan memberikan nasihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan Ucaptama dalam Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat yang berlangsung di Dewan Duyung, Perdana Resort hari ini.  Teks ucapannya dibaca Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfudz Mohamad. Gambar: Suasana di dalam Muktamar Dewan Ulama PAS

Dalam ucapan itu juga, Ustaz Haron turut memberitahu, ulamak PAS perlu menggunakan media baru dalam menyampaikan mesej dakwah mereka.

“Tidak cukup hanya dalam kuliah di surau dan masjid serta ceramah, bahkan perlu disiarkan dalam media massa. Youtube, blog, website dan media alternatif lain perlu digunakan semaksimum mungkin untuk tujuan tersebut,” katanya.

Ulamak perlu memanfaatkan media ini bagi membentuk minda rakyat dan cara pemikirannya agar benar-benar menguntungkan Islam di samping mempunyai semangat untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini, tambahnya.

Sementelahan lagi isu berkaitan ijtihad siyasi dan tarbawi biasanya dialpakan oleh banyak pihak.

Ulamak Haraki berperanan memenuhi media baru dengan pemikiran dakwah, tarbiyah dan jihad menentang kezaliman.

Jihad Ulamak Haraki, katanya,  tidak hanya dengan lisan tetapi juga menggunaka mata pena penulisan.
“Marilah kita mengisi ruangan yang terbuka luas sebagai medium dakwah moden untuk menyampaikan risalah Allah kepada masyarakat,” jelas beliau.

“Dalam isu hudud, ada ahli yang bercelaru merasakan bahawa ianya tidak perlu dibicarakan dalam era Tahaaluf Siyasi. Setengahnya terkeliru dengan pandangan bahawa hudud tidak perlu dilaksanakan kerana keadaan bermasyarakat rakyat Malaysia yang belum kondusif.

“Ini semua adalah kecelaruan pemikiran kerana gagal mengikuti tarbiyah PAS. Perjuangan menegakkan hudud merupakan agenda Islam dan sudah pasti menjadi agenda PAS,” kata Harun.

“Kita berjuang menjadikan Hudud sebagai sebahagian daripada undang-undang (Taqnin) berdasarkan kuasa demokrasi yang kita miliki.

“Setelah ianya menjadi undang-undang negara, pelaksanaannya akan dilakukan oleh badan kehakiman untuk menentukan tahap pelaksanaannya.

“Kita telah berjaya membentangkan enakmen jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu menurut kuasa demokrasi yang kita miliki,” katanya Harun.

Tiada ulasan: