Ahad, 18 November 2012

Hadi redha nyawa diambil selepas Pas menang

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN DAN NOOR AZURA SAHRIL
Abdul Hadi Awang, Nik Abdul Aziz Nik Mat
Abdul Hadi Awang menyambut Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam. - Foto Sinar Harian oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH
 
PENGKALAN CHEPA - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau rela sekiranya nyawanya diambil ALLAH selepas parti yang berteraskan Islam itu, yang ditubuhkan lebih enam dekad lalu, berjaya memimpin negara ini.

"Minta-minta Tuhan menangkan Islam, lepas itu nak mati-mati lah," kata beliau ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan Dewan Ulama Pas Pusat termasuk Dewan Muslimat yang mahukan beliau menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menerajui Putraya.

Ahli Parlimen Marang ini, yang pernah menjadi Menteri Besar Terengganu, memimpin Pas sejak 2002 ekoran kematian Datuk Fadzil Noor.

Gesaan ini dibangkitkan oleh wakil Dewan Muslimat Pas Pusat, Hairun Nizam Mat Hussain semalam.
Bagaimanapun, Abdul Hadi mengucapkan ribuan terima kasih diatas kepercayaan Dewan Ulama untuk melihat beliau menjadi Perdana Menteri tetapi katanya, yang lebih penting Islam perlu menang.

Hadi sebelum ini, juga memberitahu beliau sanggup menjadi nelayan semula dan seboleh-bolehnya mahu menjadi khadam rakyat

Ahli Parlimen Marang itu memberi contoh sejarah Rasulullah SAW menjawab pertanyaan kabilah Bani Amir yang bertanya siapa yang akan menjadi ketua jika ALLAH menjanji kemenangan pembinaan negara Madinah.

"Bila Nabi nak berhijrah ke Madinah, Nabi berjumpa dengan pemimpin kabilah yang bersedia untuk menawar diri mereka dengan Islam... ALLAH menjanjikan kemenangan, (dan) satu kabilah, Bani Amir, Nabi tawar Islam, (kata) ALLAH janji kemenangan, tegak negara kalau berjaya.

" Lalu wakil Kabilah bertanya, kalau menang siapa jadi raja, ketua, menteri dan pemimpin. Nabi Muhammad SAW berkata kekuasaan itu milik ALLAH dan Dia beri kepada siapa yang dia kehendaki. Itu jawapan Nabi. Jadi selepas ini, ikut apa yang diajarnya" katanya.

Kemudian Hadi dengan nada berseloroh berkata, "Saya tidak mahu menjadi seperti Ustaz Azizan (Abdul Razak), dia tahu saya minat memancing.  Saya pergi Kedah, dia ajak saya memancing di laut. Sebelum pergi, beliau minta anak buahnya tumbuk rempah siap-siap nak masak ikan jenahak."

"(Tetapi) pergi ke laut dapat ikan belukang. Kita perlu mengikut apa yang diajar oleh Nabi SAW," katanya yang diikuti gelak tawa hadirin di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan.

Tiada ulasan: