Menurut Abdul Hadi, mereka yang terus-terusan menyelar parti itu kononnya tergelincir daripada wadah perjuangan Islam hakikatnya terpengaruh dengan bahasa asing “welfare state” yang menafsirkan kebajikan dengan makna yang sempit.
"Muktamar yang lalu kita kemukakan tema: Membangun Negara Berkebajikan. Ramai kalangan lawan dan pemerhati tersalah anggap, sehingga membuat kenyataan terbuka, bahawa Pas sudah menyeleweng daripada matlamat perjuangan menegakkan Islam," kata Abdul Hadi mengundang riuh sidang hadirin di dalam Dewan.
Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa baru-baru ini mengundang kontroversi apabila secara terbuka mengkritik parti Islam itu yang dilihat mendahului kuasa berbanding perjuangan menegakkan syiar Islam dalam impiannya menuju ke Putrajaya.
Sasterawan Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad pula berkata, perjuangan Pas tidak lagi menepati kehendak Islam sejak bekerjasama dengan DAP.
Pandangan sama turut dizahirkan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang mendakwa Pas dikuasai oleh golongan parasit.
Kritikan-kritikan itu kemudiannya dibidas oleh Abdul Hadi sambil berkata, dalam permuafakatannya bersama Pakatan Rakyat terutama DAP, ia berlaku kerana keterbukaan parti itu yang dibarisi kepimpinan ulama yang menunjangi kerjasama baik dengan parti komponen Pakatan yang lain.
"Pas menjadi gerakan Islam terawal yang berpeluang memerintah melalui sistem demokrasi seawal 1959, kerajaan campuran 1970- an, kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah 1990 dan 1999, Pakatan Rakyat 2008, di mana sikap keterbukaan para ulama Pas lah yang membuka ruang Pas melaksanakan ijtihad Tahaluf Siyasi dalam arus politik tanahair kita sehingga membolehkan Pas berhubung dan bekerjasama dengan kalangan bukan Islam yang terdiri dari 40% rakyat di negara kita ini," jelas Abdul Hadi.
Perpaduan yang dijalin dalam Pakatan Rakyat kata Abdul Hadi, tidak mungkin dapat dipraktikkan oleh Umno-Barisan Nasional menerusi slogan 1Malaysia.
"Perpaduan dalam negara kita pula tidak akan wujud dengan laungan 1Malaysia yang diselang-selikan dengan tiupan angin perkauman sempit dan tindakan yang menekan rakyat berbilang agama dan bangsa yang wujud dalam negara kita," katanya.
"Perpaduan dan rahmat inilah yang menjadi tujuan kepada Islam, sebagai risalah akhir zaman. Inilah yang menjadi teras perjuangan Pas, setelah kita melihat Umno yang menjadi parti teras Barisan Nasional gagal untuk mendaulatkan Islam dan telah menunjukkan contoh yang tidak baik kepada rakyat keseluruhannya sehingga berulat dengan rasuah ribuan juta ringgit, dan terkini rasuah politik RM40 juta di Sabah, salah guna kuasa, ketidakadilan dalam masyarakat dan sebagainya," tambahnya lagi.
Bahkan menurut Abdul Hadi, "Umno juga gagal memperkasakan orang Melayu dengan Islam, selain dari gagal menunjukkan contoh Islam yang sebenar kepada rakyat, dengan membiarkan orang Islam dalam negara ini dicabar dan diperkotak-katikkan dengan hujah yang biadap oleh pimpinan MCA yang menjadi sekutu rapat Umno dalam Barisan Nasional."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan